TAGLINE

TAGLINE

Wednesday, October 20, 2010

CUKAI & ZAKAT : Pandangan Mohd. Radzi Lasim - CA(M)

... click untuk baca artikel ...


Pandangan dan Cadangan (Mohd. Radzi Lasim .. CA(M))

Mulai tahun 2005, kerajaan telah meluluskan supaya bayaran Zakat Perniagaan dibenarkan sebagai satu potongan cukai untuk. Dengan ini Syarikat boleh menuntut bayaran Zakat Perniagaan sebagai tolakan dibenarkan. Ketika ini, layanan Zakat terutama kepada Zakat Perniagaan oleh sistem percukaian Malaysia agak terhad dan kurang memberi kesan yang maksimum dari segi ekonomi dan pembangunan negara. Pihak kerajaan hanya memberikan potongan 2.5% pelepasan ke atas Pendapatan Terkumpul (Agregate). Layanan Zakat Perniagaan ini adalah sama bagi kes Derma atau Sumbangan Syarikat iaitu pada kadar 2.5%.


Zakat Perniagaan dan Cukai Pendapatan Syarikat :

  • Potongan (Perbelanjaan Dibenarkan) hanya setakat 2.5% daripada Pendapatan Agregate (Pendapatan Terkumpul).
  • Lebihan bayaran zakat yang dibuat adalah tidak dibenarkan potongan. Ianya bermaksud sekiranya bayaran zakat melebihi dari amaun 2.5%, lebihan tersebut tidak dibenarkan sebagai Perbelanjaan Dibenarkan.
  • Lebihan bayaran zakat tidak dibenarkan dibawa ke tahun hadapan.
Cadangan Memantapkan Fungsi Zakat :
  • Potongan (Perbelanjaan Dibenarkan) dinaikkan dengan kadar maksimum. Sebagai contoh mendapat 50% atau lebih daripada Pendapatan Agregate (Terkumpul).
  • Potongan Dibenarkan mendapat 100% pelepasan bagi Syarikat dan dikira sebagai membayar cukai Syarikat. Dengan mengambil-kira konsep pengiraan cukai bagi Individu, di mana zakat individu yang dibayar mendapat pelepasan sepenuhnya. Katakan Cukai Syarikat Yang Kena Bayar adalah RM20,000, tapi disebabkan Zakat yang dibayar adalah RM20,000 ... maka pelepasan sepenuh diberikan dan bukannya ke atas Pendapatan Agergate (Terkumpul).
  • Sekiranya terdapat lebihan dalam bayaran Zakat, lebihan Zakat tersebut akan dibawa ke tahun hadapan (Carried Forward). Jangan dipersiakan lebihan Zakat yang dibayar.

Dengan memberi sedikit kelonggaran akan sistem Zakat dan Cukai ini, saya yakin fungsi Pusat Zakat akan lebih berwibawa dalam membantu orang Islam terutamanya golongan wajib iaitu 8 Asnaf. Pusat Zakat tidak perlu menunggu bantuan kerajaan atau orang ramai, tapi sebaliknya mampu memberi sumbangan yang bermakna terutama didalam konteks membasmi kemiskinan.


Penulis (Mohd. Radzi Lasim) berharap di suatu hari nanti, perubahan seperti di atas tercapai dan insyallah dengan sedikit perubahan dalam sistem cukai negara akan memberi kesan yang ketara kepada orang Islam dan negara amnya.

Wednesday, September 29, 2010

ARTIKEL : Main Kutu

MAIN kutu yang popular di kalangan masyarakat rupa-rupanya salah di sisi undang-undang. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Aktiviti main kutu yang popular di Malaysia dan banyak dianjurkan secara kecil-kecilan di kalangan masyarakat di negara ini sejak dahulu lagi rupa-rupanya salah di sisi undang-undang.

Ramai yang tidak menyedari hakikat itu. Mengikut undang-undang, tidak ada individu mahupun syarikat di negara ini dibenarkan menganjurkan pelaburan wang kutu termasuk aktiviti mengutip wang orang lain bagi tujuan membina rangkaian perniagaan.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhd. Redzuan Abdullah berkata, kegiatan itu dilarang mengikut Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971.

"Pelaburan itu sama sekali tidak dibenarkan memandangkan ia menimbulkan kekhuatiran berlaku penyelewengan yang akan merugikan pelaburnya.

"Skim kutu diharamkan. Jika sabit kesalahan individu terbabit bakal berhadapan dengan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 3 akta yang sama," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

DIKELUARKAN OLEH : KOSMO
TARIKH : 30 SEPT. 2010

Wednesday, September 1, 2010

SETIAUSAHA SYARIKAT : Tanggungjawab Dan Peranan


TANGGUNGJAWAB DAN PERANAN SETIAUSAHA SYARIKAT

Tanggungjawab dan peranan Setiausaha Syarikat ketika ini semakin berubah sesuai dengan peredaran masa yang kian mencabar. Dunia perniagaan semakin berkembang pesat dan semakin banyak peraturan dan undang-undang yang telah dan akan diperkenalkan. Ini adalah bertujuan untuk memantapkan dan menyesuaikan peranan Setiausaha Syarikat agar lebih efektif dan juga selaras dengan perkembangan Akta Syarikat yang semakin bergerak kehadapan. 

Peranan Setiausaha Syarikat yang paling utama adalah membimbing dan memberi panduan nasihat kepada pekara-pekara yang berkaitan dengan Syarikat dan juga Lembaga Para Pengarah. Setiausaha Syarikat juga akan membimbing para Ahli memahami akan peraturan dan peruntukan yang termaktub bagi sesuatu Syarikat. Disenaraikan garis panduan Setiausaha Syarikat dalam memenuhi akan peranan dan tanggungjawab mereka kepada Lembaga Pengarah , Pemegang Saham dan Syarikat. Garis panduan ini juga termaktub dalam etika yang dibuat oleh Charterd Secretaries of Malaysia (Setiausaha Syarikat Malaysia). 


A. TANGGUNGJAWAB DAN PERANAN

(1) Setiap Setiausaha Syarikat haruslah memahami akan setiap Syarikat berkenaan Memorandum dan Arikel (M & A) yang terbabit. Peraturan dan Perlembagaan yang tertera di dalam M & A kadang berbeza bagi setiap Syarikat. Sebagai contoh pekara mengenai Perlantikkan Pengarah, Penjualan Saham, Bilangan Ahli dan sebagainya.


(2) Setiausaha Syarikat haruslah berkebolehan dan memahami akan pekara yang berkaitan dengan Undang-undang Syarikat (Akta Syarikat) dan Peraturan-peraturan.


(3) Setiausaha Syarikat perlu memastikan akan pematuhan prosedur yang betul dipatuhi selaras dengan M & A Syarikat yang tertera dan juga Akta Syarikat. 1965.


(4) Adalah menjadi tanggungjawab Setiausaha Syarikat memastikan setiap dokumen asal yang disimpan oleh Setiausaha Syarikat adalah sama dengan salinan yang diberikan seperti yang tertera didalam Buku Berkanun (Statutory Books), Buku Pendaftaran (Register Books) dan Dokumen Setiausaha (Secretarial Files). 


(5) Setiausaha Syarikat juga perlu memahami dengan sewajarnya akan “Kod and Etika Setiausaha Syarikat” yang dibuat oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang dulu dikenali sebagai Pendaftar Syarikat (ROC) dan mendokumenkan secara terang akan tanggungjawab dan peranan Setiausaha Syarikat dan kod etika praktis.


B. PERKARA PEMATUHAN DAN UNDANG-UNDANG

(1) Pihak Setiausaha Syarikat perlu memastikan bahawa sebarang perubahan didalam Maklumat Berkanun (Statutory Information) hendaklah telah lengkap sepenuhnya selarasnya dengan borang-borang yang berkaitan dan juga pendaftaran kepada SSM dalam tempoh yang telah ditetapkan. 


(2) Pihak Setiausaha Syarikat hendaklah menasihatkan Lembaga Pengarah untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Syarikat (Annual General Meeting – AGM) pada masa yang bersesuaian dan berkaitan.


(3) Setiausaha Syarikat yang menjaga Syarikat Awan Tersenarai (Public Listed) perlu sentiasa bersedia berkenaan Pendedahan Maklumat (Disclosure Requirements) oleh Bursa Saham Kuala Lumpur dan Sekuriti Komision (Securities Commission) dan menasihati akan :
----> (a) Pihak Lembaga Syarikat hendaklah menasihati secara teratur dan tepat akan maklumat berkaitan yang perlu didedahkan.
----> (b) Pihak Setiausaha Syarikat perlu menyediakan Borang pendedahan maklumat yang bersesuaian dan membantu pihak Lembaga Syarikat melengkapkan borang tersebut. 


(4) Pihak Lembaga Syarikat perlu menasihatkan Para Pengarah bagi mendedahkan maklumat mengenai Waran Para Pengarah. 


(5) Pihak Lembaga Syarikat perlu menasihatkan Para Pengarah berkenaan tanggungjawab mereka berkaitan dengan pendedahan maklumat kepentingan mereka didalam kontrak atau memegang harta atau pejabat yang memungkinkan wujudnya kepentingan yang bertindih. 


(6) Setiap pengistiharan yang di buat oleh Pengarah hendaklah direkodkan dibawah seksyen berkaitan dan Minit Mesyuarat Lembaga Pengarah pada ketika ianya dibuat. 


(7) Pihak Setiausaha Syarikat hendaklah menasihatkan akan Pengarah supaya menyediakan secara bertulis berkenaan maklumat kepada Syarikat :
----> (a) Maklumat berkaitan dengan Saham, Debentur, Kepentingan Bersama, Hak dan Pilihan Saham, dan Kontrak yang berkaitan bagi tujuan pematuhan kehendak Akta Syarikat.
----> (b) Maklumat sebarang perubahan berkenaan pekara diatas.
----> (c) Peristiwa dan pekara yang menjejaskan atau berkaitan dengan Pengarah yang berkaitan bagi tujuan pematuhan Syarikat dengan Akta Syarikat.
---->(d) Tarikh yang berkaitan dengan umur Pengarah Syarikat atau Anak Syarikat (Subsidiary) bagi Syarikat Awam yang akan atau mencecah 70 tahun. 


(8) Setiausaha Syarikat perlu sentiasa bersedia dan berkebolehan mengenai Undang-undang Sekuriti dan Peraturan bagi menasihati Pengarah Syarikat Awam berkenaan Pendedahan Maklumat yang termasuk didalam kategori ini :
----> (a) Pendedahan Penganti Pemegang Saham (Substantial Shareholdings Disclosure)
----> (b) Peraturan akan berkenaan Saham Pengarah · Peraturan akan Pengistiharan dan Pelaporan
----> (c) Pihak Setiausaha Syarikat hendaklah berkebolehan mengenai polisi pendedahan yang berterusan oleh Bursa Saham Kuala Lumpur supaya dapat memberikan nasihat cepat kepada Lembaga Syarikat. 


C. MESYUARAT SYARIKAT

(1) Pihak Setiausaha Syarikat perlu berkebolehan mengetahui akan prinsip asas undang-undang Mesyuarat. · Pihak Setiausaha Syarikat hendaklah menasihatkan Para Lembaga Pengarah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) sekurang-kurangnya sekali dalam tahun kalendar. AGM ini perlu diadakan walaupun Syarikat tersebut aktif atau tidak (Dormant)


(2) Peranan Setiausaha Syarikat dalam menyelia mesyuarat syarikat adalah semata-mata sebagai pentadbir mesyuarat dan juga termasuk :

(a) Mengatur dan berkerjasama dengan Pengerusi dan/atau Pengarah Urusan bagi dokumen dan pekara agenda
(b) Menyediakan Buku dan Bilik Mesyuarat
(c) Menghadirkan diri dan merekodkan Minit Mesyuarat 
(d) Mengambil tindakan susulan hasil keputusan mesyuarat
(e) Memainkan peranan sebagai Penasihat kepada Pengerusi dan Lembaga Pengarah
(f) Menyerahsimpan dokumen-dokumen berkaitan

(3) Minit dan Resolusi Mesyuarat yang disediakan haruslah mencerminkan mesyuarat yang diadakan dan didokumentasikan secara bertepatan, ringkas dan padat dan menggunakan bahasa yang mudah.


(4) Hasil dari Minit Mesyuarat dan Resolusi hendaklah disediakan melalui Kepala Surat Syarikat (Company’s Letterhead) dan disahkan oleh Pengerusi Mesyuarat dan/atau Setiausaha Syarikat.


(5) Pihak Setiausaha Syarikat hendaklah membentangkan kesemua Resolusi Pengarah yang telah diluluskan oleh Mesyuarat Lembaga Terdahulu pada Mesyuarat Lembaga yang akan datang sebagai peringatan.

Sunday, August 15, 2010

ARTIKEL 5 : 11,631 Syarikat Ditutup


11,631 Syarikat Ditutup Dalam Tempoh 6 bulan
KUALA LUMPUR 15 Ogos - Sebanyak 11,631 buah syarikat berdaftar di Malaysia 'gulung tikar' dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, mengatasi jumlah keseluruhan tahun lepas sebanyak 11,409 buah syarikat.

Daripada jumlah tersebut sebanyak 10,879 buah syarikat dinyah senarai di bawah seksyen 308 Akta Syarikat 1965 yang melibatkan garis panduan syarikat tidak beroperasi, 737 buah ditutup secara sukarela dan 15 lagi melibatkan syarikat asing.

Jika angka ini diambil kira, dijangkakan jumlah keseluruhan syarikat yang ditutup pada tahun ini akan meningkat sekali ganda berbanding tahun lalu dan mungkin menghampiri rekod tertinggi sebanyak 27,913 buah yang dicatatkan pada tahun 2008.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Operasi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Rokiah Mohd. Noor berkata, pihaknya mengenalpasti tiga punca utama syarikat ditutup iaitu disabit kesalahan di bawah seksyen 308 Akta Syarikat 1965, secara sukarela dan arahan daripada mahkamah.

Menurutnya, berdasarkan kajian yang dilakukan SSM, kebanyakan syarikat terpaksa ditutup akibat melanggar peraturan seperti gagal menghantar penyata laporan tahunan dan tidak aktif selama beberapa tahun.

"Sebelum sesebuah syarikat ditamatkan, mereka akan diberikan notis dan gazet sebanyak dua kali sebagai amaran.

"Jika tiada sebarang maklum balas daripada syarikat yang berkenaan, SSM berkuasa menyah senarai syarikat mereka,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Rokiah turut menafikan bahawa peningkatan jumlah penutupan syarikat pada enam bulan pertama tahun ini disebabkan oleh krisis ekonomi yang berlarutan sejak tahun lepas.

Beliau berkata, jumlah tersebut adalah perkara biasa dan penutupan syarikat disebabkan faktor kegagalan syarikat baharu bertahan khususnya melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Setiap tahun syarikat yang berdaftar di bawah SSM sentiasa meningkat dan faktor inilah yang menyebabkan syarikat yang gagal juga meningkat.

"Mereka gagal bukan disebabkan faktor ekonomi semasa tetapi adalah disebabkan masalah dalaman individu atau syarikat tersebut,'' ujarnya.

Katanya, jumlah syarikat besar 'gulung tikar' adalah perkara biasa dan tidak wajar jika perkara tersebut dikaitkan dengan kegawatan ekonomi semata-mata. Tambahnya lagi, tindakan SSM mengemaskini laporan tahunan setiap syarikat juga menjadi faktor semakin banyak syarikat tidak aktif ditutup.

"Contohnya pada tahun 2008, sebanyak 27,913 buah syarikat disahkan ditutup setelah SSM menjalankan 'Ops Bersih' sejak akhir 2007.

"Sejak 2002, sebanyak 100,763 buah syarikat telah dinyah senarai,'' jelasnya.

Sehingga Jun 2010, sebanyak 905,539 syarikat berdaftar dengan SSM yang masih aktif dan 901,196 daripadanya adalah syarikat tempatan manakala 4,343 adalah syarikat asing. Daripada jumlah tersebut PKS menyumbang 99.2 peratus daripadanya dan hanya kira-kira 1,000 buah syarikat yang disenaraikan sebagai syarikat senaraian awam.



DIKELUARKAN OLEH : UTUSAN MALAYSIA

TARIKH : 15 OGOS 2010

Tuesday, July 20, 2010

ARTIKEL 4 : Berniaga Tanpa Entiti yang Disahkan


400 Usahawan menerusi talian dikenakan tindakan tidak daftar perniagaan PULAU PINANG:

Dalam tempoh dua tahun lalu kerajaan sudah mengambil tindakan terhadap 400 individu yang menjalankan perniagaan menerusi Internet kerana tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, kesemua mereka dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 12 (1)(a) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Pindaan 2001) yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

"Individu atau syarikat yang menjalankan perniagaan menggunakan laman web atau Internet sebenarnya tidak terkecuali dan mesti mendaftarkan perniagaan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Dialog Amalan Perniagaan Beretika Zon Utara, di sini hari ini.

Katanya, langkah itu bertujuan melindungi pengguna daripada unsur penipuan selain memastikan peniaga mematuhi etika perniagaan.

Beliau berkata, kerajaan juga menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sentiasa memantau laman web yang menjalankan perniagaan bagi mengesan pihak yang gagal mendaftarkan perniagaan mereka.

"Kita mahu golongan ahli perniagaan mempunyai kesedaran bahawa mereka mempunyai tanggungjawab dan kod etika yang harus dipatuhi supaya pengguna tidak menjadi mangsa penipuan," katanya.-Bernama

DIKELUARKAN OLEH : HARIAN METRO
TARIKH : 20 JULAI 2010

Tuesday, March 30, 2010

ARTIKEL 3 : Siaran Akhbar Tarikh [17 DISEMBER 2009]

TINDAKAN PEMANTAUAN TERHADAP SETIAUSAHA SYARIKAT YANG HILANG KELAYAKAN DI BAWAH SEKSYEN 139C AKTA SYARIKAT 1965

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menjalankan pemantauan terhadap aktiviti setiausaha syarikat bagi memastikan etika kesetiausahaan sentiasa dititikberatkan. Di dalam Akta Syarikat 1965 (AS) jelas memperuntukkan bahawa sesebuah syarikat itu hendaklah dikendalikan oleh individu yang sesuai dan layak sahaja.

Setiausaha syarikat perlu memastikan bahawa beliau bukan seorang yang telah hilang kelayakan di bawah Seksyen 139C(1) AS 1965. Di bawah seksyen ini, seseorang dikatakan telah hilang kelayakan sebagai setiausaha syarikat apabila beliau adalah seorang bankrap yang belum dilepaskan atau telah disabitkan kesalahan oleh mana-mana mahkamah samada di dalam atau di luar Malaysia seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 130(1) AS 1965 iaitu:
(a) dengan apa-apa kesalahan berhubung dengan penganjuran pembentukan atau pengurusan perbadanan; 
(b) dengan apa-apa kesalahan melibatkan fraud atau tidak jujur dihukum di atas sabit kesalahan dengan penjara untuk tiga bulan atau lebih; atau 
 (c) apa-apa kesalahan di bawah seksyen 132, 132A atau 303

Selain itu, seseorang individu tidak boleh tertindak sebagai setiausaha syarikat melainkan beliau merupakan ahli badan-badan yang diiktiraf di bawah Seksyen 139A(a) AS 1965 atau memiliki lesen kesetiausahaan yang diiktiraf oleh SSM di bawah seksyen 139B AS 1965.

Setiausaha syarikat perlu membuat perakuan berkanun seperti yang telah diperuntukkan di bawah Seksyen 139(6) AS 1965 bagi mengesahkan bahawa perlantikan beliau tidak bercanggah dengan peruntukkan di bawah seksyen 139A dan Seksyen 139C AS 1965. Setiausaha syarikat juga perlu menyatakan nombor lesen atau nombor ahli badan profesional yang dianggotai oleh beliau dalam setiap dokumen berkanun syarikat yang ditandatangani oleh beliau. Syarat ini jelas dinyatakan dalam Peraturan 18(3), Peraturan Syarikat 1966.

Namun, terdapat segelintir setiausaha syarikat yang masih gagal mematuhi kehendak peruntukan-peruntukan yang dinyatakan di atas dengan terus menerus bertindak sebagai setiausaha syarikat walaupun telah hilang kelayakan untuk berbuat demikian.

SSM telah mengambil tindakan penguatkuasaan pro-aktif seperti membatalkan lesen kesetiausahaan, menyenarai hitam nama dari daftar, mengenakan kompaun dan juga tindakan pendakwaan ke atas individu-individu yang telah melanggar peruntukan-peruntukan AS yang berkenaan. Antara tindakan-tindakan penguatkuasaan yang telah dijalankan oleh SSM sepanjang tahun 2009 adalah seperti berikut :

(1) Membatalkan lesen kesetiausahaan Roslina binti Ahmad, LS0005922 pada 13 Ogos 2009 kerana telah disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 364A(1)(a) AS 1965 oleh Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur di dalam kapasitinya sebagai setiausaha syarikat Darul Ehsan Food Supply Sdn Bhd. Beliau juga dilantik sebagai setiausaha kepada 267 buah syarikat dan merupakan pengarah kepada 4 buah syarikat.

(2) Membatalkan lesen kesetiausahaan Rosman bin Hamzah, LS0001956 pada 15 September 2009 kerana terus menerus bertindak sebagai setiausaha kepada 214 syarikat sedangkan beliau telah diisytiharkan bankrap pada 22 Jun 2005. Antara syarikat-syarikat tersebut, sebanyak 87 buah syarikat ditubuhkan selepas beliau diisytiharkan sebagai bankrap. Perbuatan beliau ini adalah bercanggah dengan peruntukan Seksyen 139C(1)(a) AS 1965.

(3) Menyenarai hitamkan 39 setiausaha syarikat dari daftar termasuk 2 bekas ahli badan professional dari MIA dan Majlis Peguam Malaysia kerana terus menerus bertindak sebagai setiausaha syarikat tanpa lesen kesetiausahaan yang sah. Kesalahan ini telah dikesan oleh SSM melalui pemeriksaan data.

Tindakan pemantauan yang dijalankan ini adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 139C(3) AS 1965 yang melarang setiausaha syarikat untuk terus bertindak tanpa kelayakan. Seksyen ini juga melarang pengarah-pengarah syarikat daripada melantik setiausaha syarikat yang telah hilang kelayakan. Mana-mana pihak yang gagal untuk mematuhi peruntukan di atas, kompaun tidak melebihi RM5,000.00 atau tindakan pendakwaan akan dikenakan.

Seksyen 139C(2) Akta Syarikat 1965 menghendaki setiausaha syarikat sentiasa bersikap prihatin dan jujur dalam menjalakan tanggungjawab sebagai setiausaha syarikat dan memastikan peruntukan Akta Syarikat sentiasa dipatuhi. SSM yakin perlaksanaan penguatkuasaan seimbang yang diambil dapat memastikan urus tadbir korporat yang positif diamalkan oleh setiausaha-setiausaha syarikat selaras dengan peruntukan-peruntukan di bawah Akta Syarikat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...