TAGLINE

TAGLINE

Friday, August 15, 2014

BAYAR CUKAI GUNA MYCOID



Petaling Jaya: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menyarankan agar lebih banyak pihak menggunakan inisiatif Nombor Identiti Korporat Malaysia (myCoID) dalam urusan pembayaran cukai kerana ia memudahkan individu memulakan perniagaan berdasarkan piawaian Bank Dunia.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohd Razali Hussain berkata, inisiatif terbabit diperkenalkan pada 2010, namun hanya beberapa agensi saja melaksanakannya seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Kami harap semua pihak akan menggunakan inisiatif ini seperti dilakukan kebanyakan negara maju bukan saja bagi pembayaran cukai, malah urusan lain seperti pendaftaran dan penutupan syarikat,” katanya pada Bisnes Metro, di sini., baru-baru ini.

MyCoID merujuk kepada nombor syarikat digunakan sebagai satu siri nombor rujukan tunggal untuk kegunaan pelbagai pendaftaran dan urusan dengan agensi kerajaan berkaitan.

Beliau berkata, kebanyakan urusan perniagaan pada masa ini menggunakan kod berasingan bagi setiap urusan dan ia dilihat mengekang pertumbuhan produktiviti setiap perniagaan di negara ini.

“Kami lihat apabila pelaksanaan inisiatif ini dilakukan secara menyeluruh, maka setiap peniaga mendapat kemudahan terbaik dalam menjalankan perniagaan sekali gus memperbaiki kedudukan negara dalam Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia bagi tahun depan,” katanya.

Laporan 2014 itu menyaksikan Malaysia menduduki tangga keenam daripada 189 negara iaitu peningkatan sebanyak 12 anak tangga berbanding tahun sebelumnya.

Negara mencatatkan peningkatan dalam enam daripada 10 petunjuk, namun mengalami penurunan bagi dua petunjuk dengan pembayaran cukai adalah petunjuk mencatatkan penurunan paling ketara iaitu daripada kedudukan 15 ke 36.



Razali berkata, MPC memiliki pasukan yang memberi fokus mengenai langkah meningkatkan petunjuk terbabit yang perbincangan lanjut dilakukan dengan sektor awam dan sektor swasta bagi menjadikan negara lebih kompetitif seperti Hong Kong dalam aspek pembayaran cukai.

“Laporan ini menunjukkan usahawan Malaysia perlu melakukan urusan membayar cukai lebih daripada tiga kali berbanding Hong Kong dalam satu kategori.

Kerjasama antara kedua sektor amat penting dalam meningkatkan produktiviti dan daya saing menjalankan perniagaan di negara ini,” katanya.

“Langkah terbabit juga perlu dilaksanakan memandangkan purata cukai keseluruhan menunjukkan peningkatan daripada 24.5 peratus pada tahun lalu kepada 36.3 peratus dan ia agak tinggi berbanding negara ASEAN lain,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan peningkatan cukai keuntungan hartanah (RGPT) dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang di laksanakan pihak kerajaan dilihat amat membantu dalam memastikan sistem pembayaran cukai lebih teratur dan produktif.

“Saya yakin polisi kerajaan mengenai pelaksanaan cukai pada masa ini akan memberi impak positif kepada negara dalam Laporan Menjalankan Perniagaan 2015 sekali gus turut membaiki sistem pembayaran cukai di Malaysia,” katanya.


Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25 ( Harian Metro, Sofyan Rizal Ishak )
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...