TAGLINE

TAGLINE

Friday, October 3, 2014

Enterprise



From:"xxx"
To: rundingsyarikat@yahoo.com
Sent:  Monday, September 15, 2014 10:07 PM

Saya tidak faham mengenai enterprise dan saya harap tuan dapat memberi nasihat kepada perkara ini.

Saudara saya mempunyai sebuah syarikat enterpise yang terdiri daripada 3 orang pengarah dan syarikat ini telah mendapat tawaran untuk menguruskan tanah kerajaan bagi tujuan pertanian. Salah seorang pengarah tersebut ingin menarik diri dan sesiapa yang berminat dikehendaki membayar sejumlah amaun yang dipersetujui. Persoalan saya, bagaimanakah jumlah tersebut ditentukan sedangkan sebuah enterprise tidak mempunyai modal dan sekiranya saya berminat bagaimana proses yang paling selamat di buat bayaran kepada pengarah tersebut. Terima kasih

JAWAPAN:
Waalaikumussalam Puan,
Untuk makluman Puan, bentuk perniagaan yang dijalankan adalah perniagaan perkongsian dimana perniagaan ini tertakluk di bawah Akta Perkongsian 1961. Perniagaan ini tidak mempunyai Pengarah tetapi dimiliki oleh rakan kongsi. Bagi perniagaan perkongsian, mereka terikat dengan surat perjanjian di antara rakan kongsi. Salah satu ciri yang terdapat di dalam surat ikatan tersebut selain daripada kuasa dan tanggungjawab rakan kongsi adalah sumbangan modal antara rakan-rakan kongsi mengikut nisbah modal yang dipersetujui seperti di dalam Artikel Perkongsian. Keuntungan dan kerugian juga diagihkan kepada rakan kongsi mengikut syarat-syarat dan nisbah modal yang disumbangkan.

Berbalik kepada persoalan Puan, untuk menentukan jumlah amaun yang perlu dibayar adalah bergantung kepada perjanjian yang telah dibuat antara rakan kongsi. Ini bermakna, berkemungkinan rakan kongsi yang ingin menarik diri daripada perkongsian tersebut telah membayar sejumlah wang modal mengikut persetujuan antara rakan kongsi dan mengkehendaki sesiapa yang berminat untuk membayar sejumlah wang yang telah ditetapkan kepada beliau sebagai pembayaran balik modal yang telah dikeluarkan.

Bagi persoalan yang seterusnya, antara cara bagi memastikan proses bayaran selamat dijalankan adalah dengan memperbaharui perjanjian antara rakan kongsi dengan meletakkan nama Puan sebagai rakan kongsi yang baru dan menyatakan juga jumlah modal yang telah disumbangkan oleh Puan. Bayaran pula perlulah dibuat melalui bank. Ini penting kerana slip pembayaran tersebut adalah sokongan sebagai pembuktian bahawa modal telahpun dikeluarkan daripada pihak Puan. Hal ini bagi memastikan tiada isu atau perkara berbangkit dikemudian hari.    

Sekian, dimaklumkan.

p/s : Harap dapat membantu
Terima kasih. 

RADZI & CO.
Chartered Accountants (M)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...