TAGLINE

TAGLINE

Wednesday, April 16, 2014

MODAL SYARIKAT

Assalammualaikum wbt..


Tuan,
Saya ada masalah ingin saya tanyakan pada tuan. Pada Mei 2012, Syarikat ABC Sdn. Bhd. hampir ditutup. Hanya tinggal seorang yang positif ingin berjuang dalam dunia perniagaan yang saya namakan dia sebagai “Ali”. 4 orang Ahli Lembaga Pengarah lain merangkap pengarah Syarikat ABC Sdn. Bhd. ingin keluar membawa haluan masing-masing. Kemudian, saya menyertai Syarikat ABC Sdn. Bhd. bersama Ali dan apabila keadaan bertambah baik, kami menambah 2 orang Ahli Lembaga Pengarah lagi yang juga pemegang saham menjadikan kami semua 4 orang. Secara ringkas, syer saya adalah sebanyak 29%.

Modal berbayar syarikat adalah RM10,000 dan sekarang telah naik kepada RM13,500. Modal RM10,000 dahulu adalah daripada bantuan sebuah syarikat mentor (XXX Sdn. Bhd.) dimana tanggungjawab untuk melunaskan adalah di atas perseorangan (pemegang saham) dan saya masih belum masuk ke dalam syarikat ini lagi pada waktu itu. Ini bermaksud, RM2,000 perlu ditangging oleh setiap orang (RM10,000/5 orang pemegang saham). Ketika saya masuk, secara automatiknya saya sebagai salah seorang pemegang saham dan ahli lembaga pengarah mengambil tanggungjawab untuk menanggung hutang tersebut (sebahagian). Sehingga kini, RM10,000 tersebut masih belum dibayar kepada Syarikat XXX Sdn. Bhd. (masih berhutang).

Masalah timbul apabila saya ingin keluar daripada Syarikat ABC Sdn. Bhd. sebagai pemegang saham sebanyak 29% kerana meyambung pelajaran ke peringkat PHD dan tidak mempunyai komitmen masa untuk syarikat. Apakah hak saya? Adakah benar hak saya adalah  berjumlah RM3,915 (0.29 * RM13,500)? Dan apabila ditolak daripada hutang RM10,000 tersebut, (0.29 * RM10,000=RM2,900) menjadikan jumlah sebenar yang perlu saya dapat adalah sebanyak RM1,015 (RM3,915-RM2,900). Adakah benar pengiraan saya? Saya ingin mendapatkan penjelasan daripada tuan.
Terima kasih.

JAWAPAN:-
1.    MODAL SYARIKAT (ASAL)
       Modal berbayar (asal)    : RM10,000 (bantuan XXX Sdn. Bhd.)
       Memandangkan modal berbayar (asal) Syarikat ABC Sdn. Bhd. merupakan bantuan daripada Syarikat  
       XXX Sdn. Bhd, maka terdapat perjanjian yang telah dibuat dimana :-
        •    Tanggungjawab untuk melunaskan adalah atas perseorangan (pemegang saham)
              Suka untuk diingatkan bahawa pemegang saham hanya bertanggungjawab terhadap jumlah syer
              yang dipegang sahaja.  Setiap saham yang dipegang perlu dibayar.

2.    PERLETAKAN JAWATAN SEBAGAI PENGARAH SYARIKAT & PEMEGANG SAHAM
       Sekiranya Tuan ingin keluar daripada syarikat maka :-
        •    Saham yang Tuan miliki perlu dijual atau dipindahkan. Transaksi ini boleh berlaku hanya dengan  
              kelulusan daripada pihak Pengarah Syarikat
        •    Harga penjualan/pindahan saham bergantung kepada persetujuan bersam.

3.    LAIN-LAIN HAK SEBAGAI PEMEGANG SAHAM
        a.    Hak untuk menerima dividen yang diumumkan oleh Lembaga Pengarah.
        b.    Hak untuk menjual dan membeli saham baru yang dikeluarkan oleh Syarikat.
        c.    Hak untuk berkongsi dalam hasil yang diperolehi, ketika Syarikat dibubarkan.
        d.    Hak untuk mengundi mengenai urusan  yang mempengaruhi Syarikat secara keseluruhannya.

Thursday, March 13, 2014

Perbezaan antara syarikat "Holding" dan "Corporation"


From    : xxx@gmail.com
Sent      : Tuesday, February 18, 2014 2:16PM
Subject : Perbezaan antara syarikat "Holding" dan "Corporation"

Salam,

Apakah perbezaan antara Syarikat "Holding" dan "Corporation"? Berapakah anggaran wang ringgit untuk dilaburkan untuk menubuhkan sesuatu Syarikat Holding/ Corporation?

Apakah cara-caranya?

Sekian.

Jawapan:-

Salam Tuan,

1. Penggunaan nama Syarikat "Holding" & "Corporation"
  1. "Corporation" merupakan nama kawalan dimana permohonan carian nama tersebut berkemungkinan besar akan ditolak oleh pihak SSM.
  2. Manakala, penggunaan "Holding" pula tiada sekatan.
Apa yang membezakan Syarikat "Holding" dan "Corporation" adalah sifat Syarikat itu sendiri. Ianya adalah keputusan Syarikat untuk menentukan corak & aktiviti Syarikat.

2. Cara penubuhan
  1. Cara penubuhannya adalah sama seperti menubuhkan sebuah Syarikat Sdn Bhd. :-
    • Memerlukan minimum 2 orang Pengarah & Pemegang Saham yang mematuhi syarat kelayakan seperti berikut :-
      • Berumur 18 tahun
      • Beralamat di Malaysia
      • Tidak pernah disabitkan/ dipenjarakan sama ada di dalam atau di luar Malaysia apa-apa kesalahan
  2. Anggaran kos yang terlibat bagi menubuhkan Syarikat adalah dalam lingkungan RM2,200 ke atas. Suka untuk diingatkan bahawa kos penubuhan adalah bergantung kepada Model Saham yang dibenarkan. Semakin tinggi, maka semakin besar kos terlibat.
Secara umumnya, Holding Co merujuk kepada anak-anak syarikat manakala "Corporation" pula merujuk kepada kerjasama antara pihak.

Tuesday, March 11, 2014

PEMBIAYAAN DAN KEUSAHAWANAN


Dalam apa jua perniagaan, modal merupakan perkara asas yang perlu ada sama ada dijana oleh aset yang dimiliki sendiri atau melalui pembiayaan daripada institusi kewangan tempatan. Di pasaran, terdapat pelbagai produk pembiayaan yang ditawarkan khas untuk perniagaan khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk juga industri francais untuk dipilih.

Namun, usahawan perlu bijak membuat keputusan pembiayaan yang bersesuaian dengan perniagaan mereka dan membuat persediaan awal dengan menyelidik prosedur serta terma-terma setiap produk.

Sebagai contoh, kerajaan telah menubuhkan skim-skim pembiayaan khas untuk industri francais dengan pelbagai insentif serta kemudahan yang menarik dalam usaha meningkatkan penglibatan usahawan terutama bumiputera dalam industri berkenaan. Setiap permohonan pembiayaan perlulah disokong oleh kertas kerja perniagaan francais yang lengkap bagi membuktikan kesungguhan usahawan berkenaan dan juga untuk meyakinkan institusi kewangan berkenaan.

Kertas kerja yang lengkap mestilah menerangkan secara keseluruhan perniagaan yang dijalankan dengan jelas dan ringkas serta mudah difahami oleh institusi kewangan. Banyak contoh-contoh kertas kerja yang terdapat di pasaran yang boleh dijadikan rujukan oleh usahawan ketika ini.

Kertas kerja perlu diolah dengan baik, berstruktur dan seharusnya memaparkan informasi perniagaan yang memang ingin diketahui oleh institusi kewangan. Dokumentasi kertas kerja ini sangat penting untuk sesebuah perniagaan bukan sahaja untuk memperoleh pembiayaan, malah untuk dijadikan rujukan oleh pengurusan syarikat dan pekerja serta bakal pelabur.

Bahan-bahan ini dapat membantu usahawan untuk berfikir, mengkaji dan mendokumenkan idea secara sistematik sebelum memulakan sesebuah perniagaan bagi mengetahui perniagaan tersebut berdaya maju atau tidak.

Selain itu, melalui kertas kerja, usahawan dapat mengenal pasti persekitaran perniagaan, pelanggan, pesaing, jumlah kos keseluruhan dan risiko perniagaan. Aspek ini sangat penting untuk dinilai oleh institusi kewangan.

Oleh itu, bagi menyediakan kertas kerja yang lengkap, usahawan harus memastikan elemen seperti model perniagaan, produk atau perkhidmatan, wawasan, matlamat, kedudukan semasa syarikat dari segi kewangan serta pasaran, keperluan pembiayaan dan tujuan pembiayaan berkenaan diperlukan.

Mengikut standard semasa, antara kriteria yang akan dinilai oleh institusi kewangan adalah potensi perniagaan dan risiko yang boleh diterima.

Penulis adalah Pengerusi MFA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140311/ek_02/Pembiayaan-dan-keusahawanan#ixzz2vhrKMksM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Thursday, March 6, 2014

PENUTUPAN DAN PENJUALAN SYARIKAT

Salam,

Saya dan suami merupakan Pengarah Urusan bg sebuah Syarikat Sdn Bhd milik keluarga yang telah ditinggalkan oleh arwah ayah saya.

Setelah terdapat pelbagai masalah yang dihadapi dari pihak kami sendiri iaitu dari segi menguruskan pentadbiran Syarikat dan segala hal yang berkaitannya, kami bercadang untuk menjual atau menutup Syarikat Sdn Bhd tersebut. Tetapi, kami tidak tahu apa yg perlu kami lakukan.

Bolehkah saudara jelaskan bagaimana sekiranya kami ingin menjual Syarikat atau menutup Syarikat sdn bhd? Apakah tindakan yang perlu kami lakukan? Pihak apakah yang terlibat? Adakah pengarah lama perlu ada sekiranya Syarikat telah dijual walaupun jumlah sahamnya sedikit? atau apa sahaja yang saudara boleh huraikan.

 xxxx
Sent from Samsung Galaxy S III

 JAWAPAN:-

Salam Puan,

1.     PENUTUPAN SYARIKAT

Sekiranya Syarikat Puan tidak aktif, tidak beroperasi dan tidak berupaya meneruskan perniagaan pada masa akan datang, maka pihak Syarikat dinasihatkan untuk membuat permohonan Pembatalan Nama Syarikat atau lebih dikenali sebagai Penutupan Syarikat di bawah Seksyen 308(1) Akta Syarikat 1965.

 Antara syarat2 yang perlu dipatuhi adalah seperti berikut:-

a.      Syarikat itu tidak berniat untuk menjalankan perniagaan pada masa hadapan

b.      Syarikat itu tidak mempunyai aset atau harta

c.      Syarikat itu tidak mempunyai hutang yang perlu dibayar

d.     Syarikat itu bukan Syarikat penjamin atau anak Syarikat lain

e.      Syarikat itu tidak berfungsi lagi, mungkin tanpa pegawai yang boleh dihubungi

Proses penutupan Syarikat ini kebiasaannya mengambil tempoh selama 6 hingga 12 bulan bergantung kepada budi bicara pihak SSM. Sesebuah Syarikat yang telah dibatalkan dari Daftar disifatkan telah dibubarkan setelah notis pembatalan nama dikeluarkan dalam Warta Kerajaan.

Oleh yang demikian, pihak Syarikat dan pihak Pengarah boleh memilih untuk menutup Syarikat di bawah Seksyen ini. Pihak Puan boleh melantik pihak lain sekiranya pihak Syarikat tidak mahu menggunakan khidmat Setiausaha Syarikat Puan.
Untuk makluman Puan, pihak yang terlibat di dalam proses penutupan Syarikat adalah:-

a.      Pengarah

b.      Pemegang Saham

c.      Setiausaha Syarikat

d.     Suruhanjaya Syarikat Malaysia
2.     PENJUALAN SYARIKAT

Proses penjualan Syarikat pula kebiasaannya bergantung kepada perbincangan di antara Syarikat Puan dengan pihak Pembeli. Setelah pihak Pembeli bersetuju, maka Pihak Puan perlu maklumkan kepada pihak Setiausaha Syarikat agar segala dokumen dapat disediakan.

 Kesan ke atas Syarikat setelah Syarikat dijual adalah seperti berikut:-

a.      Perubahan komposisi Pengarah

-     Pengarah asal Syarikat akan meletak jawatan & Pengarah baru dilantik

-     Setelah segala dokumen ditandatangani, maka pihak Setiausaha Syarikat Puan akan menyerahsimpan dokumen2 tersebut kepada pihak SSM untuk dikemaskini.

b.     Perubahan Pemegang Saham

-   Saham yang dipegang oleh Pemegang Saham sebelum ini (‘Transferor’) akan dipindahkan kepada Pemegang Saham yang baru (‘Transferee’).

-  Jumlah saham yang ingin dipindahkan bergantung kepada keputusan yang dibuat oleh Pemilik Syarikat yang baru.

-    Proses pindah saham ini dikatakan sempurna setelah pihak Syarikat membuat bayaran Duti Setem kepada pihak LHDN.

Kesimpulannya, setelah proses penjualan Syarikat sempurna, maka Pengarah Syarikat terdahulu tidak lagi terikat dengan Syarikat dalam tempoh 12 bulan.

Semoga keterangan di atas dapat membantu Puan.

Terima kasih.


Wednesday, November 27, 2013

GAGAL MENYEDIAKAN LAPORAN TAHUNAN 2012


From:"xxx"
To:
mr.radzi@ymail.com
Sent:
 Wednesday, November 6, 2013 9:48 AM
Subject: GAGAL MENYEDIAKAN LAPORAN TAHUNAN 2012


SOALAN :

Assalamualaikum…diharap pihak tuan dapat dan membantu mengenai permasalahan yang saya alami.

Saya dan dua rakan saya telah membuka Syarikat SDN BHD melibatkan perniagaan Komputer dan mempunyai hampir keseluruhan Kod Bidang Komputer berserta Sijil Bumiputra.

Tarikh Penubuhan Syarikat : Disember 2011
Penandatangan buku bank : Puan Y

Berikut mengenai serba sedikit maklumat pengarah syarikat dan pemegang saham.
Pemegang Syer Pemegang Saham

Puan Y
RM 90,999
RM1
En X
RM4,999
RM1
En Z
RM4,999
RM1

Keseluruhan Modal yang dibenarkan RM 100,000.

Untuk makluman tuan segala urusan syarikat seperti berkaitan tender dan urusan perniagaan, invoice, buku bank serta cek dan semua urusan hanya dilakukan oleh pihak Puan Saleha sahaja.

*Syarikat masih aktif dan mempunyai transaksi bank puluhan ribu ringgit dari 2012 sehingga hujung 2013 dan bakal memperolehi keuntungan berganda pada 2014 merujuk daripada maklumat dan risikan daripada pekerja syarikat ini.

Mengikut tarikh akhir SSM syarikat perlu menghantar Laporan Tahunan bagi Tahun 2012 mestilah dihantar selewat-lewatnya sebelum 7 JULAI 2013.Permasalahan yang saya hadapi ialah syarikat ini masih belum menghantar Laporan tahunan tersebut kepada pihak SSM sehingga kini (6 November 2013).

Saya(En Z) , En X telah berhubung dan Pihak Syarikat Secetary memohon Puan Y menyediakan Laporan Tahunan sebelum bulan MEI 2013 untuk dibentangkan kepada kami. Amatlah mengecewakan Puan Saleha memberi alasan belia sedang mencari dan mengumpul segala invoice untuk menyiapkan Laporan Tahunan sehingga melepasi tarikh akhir menghantar laporan tahunan 2012.

 Berdasarkan Situasi diatas saya (En Z) dan En X memahami dan telah melanggar akta syarikat.
1. *Tidak mengadakan Mesyuarat agong tahunan(AGM) 2012.
2. *Masih gagal menghantar Laporan Tahunan syarikat 2012.

Setelah diteliti dan difahami kami dan Pihak SC membuat kesimpulan mengenai Puan Y didapati.
1. *Beliau memberi alasan dan helah untuk menyembunyikan maklumat syarikat.
2. *Mengelak untuk membuat pembayaran untuk menyediakan laporan tahunan.
3. *Mengambil kesempatan kerana saya (En Z) dan En X mempunyai Ijazah Elektronik dan IT untuk mendapatkan Kod bidang Komputer seterusnya berniaga atas kepentingan sendiri.

Soalan dan mohon pendapat mengenai permasalahan saya dan jalan terbaik untuk saya (En Z) pilih????
1. Apakah benar perletakan jawatan dalam saya (En Z) dan En X tidak dibenarkan kerana melepasi tarikh akhir menghantar laporan tahunan 2012.

2. Apa yang perlu saya (En Z) dan En X lakukan sekarang untuk mengelakkan kompaun melalui tindakan mahkamah sekiranya masih gagal menyediakan Laporan Tahunan 2012.

3. Adakah kami (En Z dan En X) layak memanggil EGM serta keperluan melakukan EGM dan apakah hasil mesyuarat tersebut boleh diambil tindakan kepada Puan Y sekiranya HADIR atau TIDAK HADIR.(Pemahaman saya (En Z) EGM hanya boleh dilakukan sekiranya pemegang saham mesti melebihi 10% dari nilai syer, adakah kami (En Z dan En X) layak memanggil EGM?)

4. Sekiranya kami (En Z dan En X) berminat untuk meneruskan syarikat ini mengikut akta syarikat, apakah kaedah mudah atau paksa untuk memastikan Puan Y disingkirkan daripada syarikat ini kerana ia secara terang-terang tidak betul-betul memahami dan mengendahkan akta syarikat kerana syarikat ini berpontensi untuk berkembang berdasarkan maklumat dari pekerja syarikat ini.

Harap pihak tuan dapat membantu….sekian….


JAWAPAN:


Waalaikumsalam, Tuan.
1.      Perletakan jawatan oleh Pengarah Syarikat boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja ataupun pihak syarikat boleh memecat dan melantik sesiapa sahaja untuk menjadi Pengarah Syarikat pada bila-bila masa sahaja. Pengarah Syarikat atas apa-apa alasan boleh meletakkan jawatannya. Perletakan jawatan bagi Pengarah Syarikat berkuatkuasa pada tarikh Lembaga Pengarah Syarikat menerima surat perletakan jawatan atau pada tarikh yang dinyatakan dalam surat atau mengikut peruntukan Artikel Syarikat.


Perletakan jawatan adalah tidak sah jika ianya menyebabkan terdapat kurang daripada dua (2) orang Pengarah Syarikat yang bermustatutin di Malaysia [Seksyen 122(6), Akta Syarikat 1965] kecuali jika perletakan jawatan tersebut adalah disebabkan oleh Pengarah Syarikat tersebut tidak layak memenuhi kelayakan saham [Seksyen 122(7), Akta Syarikat 1965]. Berdasarkan permasalahan Tuan, Pengarah Syarikat iaitu Pn.Y perlu mencari pengganti Pengarah sekiranya En. X dan En. Z ingin meletakkan jawatannya.

2.      Kompaun yang dikenakan akibat kegagalan menyediakan Laporan Tahunan 2012 tidak boleh dielakkan. Pengarah-pengarah syarikat bertanggungjawab untuk memastikan semua penyata tersebut diserahsimpan bersama-sama Laporan Kewangan Beraudit Syarikat bagi setiap tahun kalendar seperti diperuntukkan oleh seksyen 165 dan 169, Akta Syarikat 1965. Kadar denda mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh SSM dan bergantung kepada ketidak patuhan kepada peruntukan yang berkaitan dalam Akta. Berikut adalah jumlah bagi kompaun yang dikenakan sekiranya Syarikat gagal menyerahsimpan dokumen Penyata Tahunan dan Laporan Kewangan Beraudit Syarikat:

SEKSYEN
AMAUN BAYARAN KOMPAUN
ABC SB
En. X
Pn. Y
En. Z
Seksyen 143(1)
1,000.00
1,000.00
1,000.00
1,000.00
Seksyen 165(4)
400.00
400.00
400.00
400.00
Seksyen 169(1)
-
3,000.00
3,000.00
3,000.00
JUMLAH
1,400.00
4,400.00
4,400.00
4,400.00

Walaubagaimanapun, En. X boleh membuat rayuan bagi pengurangan kadar kompaun yang dikenakan. Kadar pengurangan yang akan diberi adalah bergantung kepada pihak SSM.

3.  Mana-mana Pengarah Syarikat bilamana ia fikirkan sesuai mengadakan suatu mesyuarat agung luar biasa, dan mesyuarat agung luar biasa hendaklah diadakan di atas mana-mana tuntutan rasmi yang dibuat atau dengan keingkaran boleh diadakan melalui mana-mana tuntutan rasmi seperti yang diperuntukan di bawah Akta.

Berikut merupakan yang layak mengadakan mesyuarat:

(a)    Pengarah
Biasanya, kuasa diberikan kepada pengarah syarikat untuk mengadakan mesyuarat ahli. Pengarah syarikat juga boleh mengadakan mesyuarat apabila diminta oleh ahli.

(b)   Ahli
                               i.  Permintaan untuk mengadakan EGM hendaklah dibuat dalam bentuk tulisan dan ditandatangani oleh                  ahli-ahli yang memegang sekurang-kurangnya 10% daripada modal berbayar (Seksyen 144, Akta                    Syarikat 1965).

                             ii.  Dua atau lebih ahli-ahli memegang tidak kurang dari satu per sepuluh modal syer diterbitkan (10%)                   seperti yang diperuntukan oleh Artikel Syarikat boleh memanggil AGM atau EGM. (Seksyen 145,                    Akta Syarikat 1965).

Berdasarkan situasi Tuan, En. X dan En. Z layak untuk memanggil Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kerana jumlah pegangan saham bagi kedua-duanya melebihi 10%. Setiausaha Syarikat akan mengeluarkan notis bagi mengadakan EGM. EGM tersebut tetap sah di adakan sekiranya telah cukup korum seperti yang telah ditetapkan didalam artikel Syarikat. Kebiasaanya, Artikel 83 menyatakan bahawa, korum yang diperlukan hendaklah dua orang. Walaupun  Pn. Y tidak hadir, mesyuarat tersebut tetap sah dijalankan.

4.   Untuk makluman Tuan, Pemegang jawatan Pengarah Syarikat merupakan mereka yang mempunyai kuasa yang diamanahkan dalam mentadbir dan menyelenggara syarikat tersebut. Oleh yang demikian, Pengarah Syarikat juga boleh meletakkan jawatan pada bila-bila masa sahaja sebelum sampai tarikh tamat memegang jawatan tersebut ataupun pihak syarikat boleh memecat dan melantik sesiapa sahaja untuk menjadi Pengarah Syarikat pada bila-bila masa (Artikel Syarikat, Jadual ke Empat) .
Berdasarkan masalah Tuan, Pn. Y didapati telah melanggar tugas dan tanggungjawab beliau sebagai Pengarah Syarikat. Berikut merupakan antara tanggungjawab Pengarah Syarikat menurut Akta Syarikat 1965:
              i.    Tidak menggunakan mana-mana maklumat atau harga syer dengan tidak betul untuk kepentingan sendiri atau orang tertentu. (Seksyen 132(2) & 132A, Akta Syarikat 1965)
                ii.    Mengadakan mesyuarat agung tahunan (Seksyen 143, Akta Syarikat 1965)
           iii.  Menyediakan dan menyerahkan kepada Pendaftar Syarikat Penyata Tahunan (Seksyen 165, Akta Syarikat 1965)
               iv. Menyimpan rekod perakaunan dengan sempurna (Seksyen 167, Akta Syarikat 1965)
            v.  Membentangkan akaun, kunci kira-kira dan laporang Pengarah Syarikat dalam AGM (Seksyen 169, Akta Syarikat 1965)

Sementara itu, pemecatan Pn. Y perlulah dilakukan melalui EGM. Oleh yang demikian, Pengarah Syarikat boleh memanggil EGM berdasarkan tuntutan daripada Ahli, dan Pengarah Syarikat boleh memberi arahan kepada Setiausaha Syarikat bagi menyediakan notis bagi mengadakan EGM.




Sekian, dimaklumkan.
p/s : Harap dapat membantu
Terima kasih. 

RADZI & CO.

Chartered Accountants (M)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...