TAGLINE

TAGLINE

Wednesday, January 14, 2015

Perletakan Jawatan Pengarah


Assalamualaikum Encik Radzi,

Saya xxx dari xxxxx Saya ingin bertanya bagaimana kiranya saya hendak meletakkan jawatan saya sebagai pengarah sedangkan dalam syarikat tersebut ada 6 pengarah termasuk saya. Saya tiada apa-apa kepentingan didalam syarikat tersebut dan saya tidak pernah di bayar elaun pengarah seperti yang dijanjikan. Kini syarikat tidak lagi beroperasi tetapi belum ditutup.

Pengarah utama tidak beri kerjasama kepada saya dan banyak mengelak bila saya katakan ingin keluar dari syarikat. Saya bimbang jika ada masalah lain nama saya terbabit. Ada ke cara untuk saya keluarkan nama saya dari syarikat tersebut? Saya berharap Encik Radzi dapat membantu saya bagimana cara terbaik untuk saya lakukan.

Terima kasih
xxx

Waalaikumsalam Tuan,

PENGARAH
Untuk makluman Tuan, perletakan jawatan Pengarah Syarikat boleh dilakukan pada bila-bila masa dan atas apa-apa alasan sekiranya bilangan Pengarah Syarikat tidak kurang daripada dua orang pengarah. Maksudnya, Syarikat perlu ada sekurang-kurangnya dua orang Pengarah (Seksyen 122, Akta Syarikat 1965). Berdasarkan situasi Tuan, perletakan jawatan tersebut boleh dilakukan kerana Syarikat mempunyai bilangan Pengarah yang mencukupi dan perkara tersebut berkuatkuasa pada tarikh Lembaga Pengarah Syarikat menerima surat perletakan jawatan atau pada tarikh yang dinyatakan dalam surat atau mengikut peruntukan Artikel Syarikat.

Untuk makluman Tuan juga, tiada peruntukan dalam mana-mana akta terutamanya dalam Akta Syarikat 1965 menyatakan elaun Pengarah adalah wajib dibayar kepada Pengarah. Kesimpulannya, Syarikat tidak terikat untuk membayar elaun Pengarah kepada setiap Pengarah melainkan perkara tersebut telah mendapat persetujuaan bersama daripada Pemegang Saham.

PEMEGANG SAHAM
Sekiranya Tuan adalah Pemegang Saham Syarikat pula, nama Tuan tidak boleh dikeluarkan selagi Tuan masih belum memindahkan bilangan saham yang Tuan pegang. Oleh itu, Tuan perlulah memindahkan saham tersebut bagi menarik diri dari Syarikat tersebut.
Adalah dinasihatkan Tuan untuk merujuk Setiausaha Syarikat bagi membolehkan Tuan memproses penarikan diri dari Syarikat tersebut. Hal ini kerana, Setiausaha Syarikat akan bertindak menyediakan dokumen yang berkaitan. Diharap penjelasan ini dapat membantu.
Sekian, terima kasih.


Wednesday, December 3, 2014

Pertanyaan Mengenai Syarikat


From:"xxx"
To:radziandco@yahoo.com
Sent:
29 Nov 2014, 10:48PM
Subject: PERTANYAAN MENGENAI SYARIKAT

Salam.

Maaf atas email pertanyaan yang bertalu-talu. Di sini saya ingin mengemukakan beberapa soalan kerana saya kurang kefahaman.

Situasinya, suami (En. X) dan seorang lagi partner (En. W) merupakan Pengarah Syarikat ABC Sdn. Bhd. Saya (Pn. Y) pula merupakan salah seorang Pemegang Saham.

Harap pihak tuan dapat menjawab soalan-soalan saya kerana saya serius ingin membuat pembayaran bagi membuang nama saya (Pn. Y) dan suami (En. X).

1. Siapa pengarah utama/pengarah paling besar di antara enam orang dalam Syarikat ABC Sdn. Bhd.?

2. Pengarah yang mana satu yang akan disaman jika syarikat tidak ditutup?

3. Jika saya (Pn. Y) dan suami (En. X) memberi shareholder kepada shareholder yg lain, adakah kami masih director walaupun telah tiada shareholder?

4. Jika syarikat tidak ditutup, pengarah yang manakah yang akan disaman/diambil tindakan oleh SSM?

5. Boleh ke nak buang nama saya (Pn. Y) dan suami (En. X) terus daripada ABC Sdn. Bhd., tanpa perlu kami cari pengganti bagi menggantikan nama kami? Supaya kami tiada sebarang kaitan lagi dengan ABC Sdn. Bhd.

6. Boleh ke nak buang terus nama saya (Pn. Y) dan suami (En. X) sebagai director dan segala shareholder kami ditransfer terus kepada (En. W)?

7. Berapa kos untuk buang nama saya (Pn. Y) dan suami (En. X) drpd shareholder dan director? Boleh tak bagi quotation?

8. Kalau kami nak jumpa dgn encik radzi, adakah kami perlu buat appointment terlebih dahulu?  Atau saya boleh datang terus ke pejabat radzi&co tanpa membuat sebarang appointment?


Terima kasih.



Pn XXX


JAWAPAN:
Waalaikumsalam, Puan.
Untuk makluman Puan,

1. Pengarah Syarikat ABC Sdn. Bhd. terdiri daripada dua (2) iaitu En. X dan En. W. Tiada istilah pengarah utama dalam Syarikat ini.


2. Kedua-dua Pengarah Syarikat akan di kenakan penalti/kompaun sekiranya tidak mematuhi Akta Syarikat, 1965.


3. En. X merupakan Pengarah Syarikat manakala Pn. Y merupakan Pemegang Saham dan bukannya Pengarah Syarikat. Sementara itu, En. X masih merupakan Pengarah Syarikat walaupun saham miliknya telah dipindah milik. Hal ini demikian kerana, En. X tidak meletak jawatan sebagai Pengarah Syarikat.



4. Sama seperti soalan No. 2. Kedua-dua Pengarah Syarikat akan di kenakan penalti/kompaun sekiranya tidak mematuhi Akta Syarikat, 1965.

5. Nama Pn. Y dan En. X tidak boleh dikeluarkan tanpa mencari Pemegang Saham yang lain baru. Sementara itu,  En. X tidak boleh meletak jawatan sebagai Pengarah Syarikat tanpa mencari pengganti. Perletakan jawatan adalah tidak sah jika ianya menyebabkan terdapat kurang daripada dua (2) orang Pengarah Syarikat yang bermustatutin di Malaysia [Seksyen 122(6), Akta Syarikat 1965] kecuali jika perletakan jawatan tersebut adalah disebabkan oleh Pengarah Syarikat tersebut tidak layak memenuhi kelayakan saham [Seksyen 122(7), Akta Syarikat 1965].

6. En. X merupakan Pengarah Syarikat manakala Pn. Y merupakan Pemegang Saham dan bukannya Pengarah Syarikat. Pegangan saham oleh En. X dan Pn. Y boleh dipindahkan kepada En. W. Tetapi memerlukan tandatangan En. W sebagai persetujuan. Sebaliknya, Pengarah syarikat iaitu En. X tidak boleh digantikan dengan En. W kerana beliau merupakan Pengarah Syarikat dan perletakan jawatan En. X akan menjadi tidak sah kerana bilangan Pengarah akan berkurang daripada dua (2) orang.

7. Kos untuk pemindahan Saham dan pertukaran pengarah adalah bergantung kepada situasi.

8. Puan boleh sahaja datang ke Firma kami pada bila-bila masa untuk berjumpa dengan pihak kami. Tetapi sekiranya Puan ingin membuat temujanji, bolehlah berhubung dengan pihak kami dan ini adalah yang sebaiknya.


Terima kasih.  

Harap dapat membantu.

RADZI & CO.
Chartered Accountants (M)

Friday, October 3, 2014

Enterprise



From:"xxx"
To: rundingsyarikat@yahoo.com
Sent:  Monday, September 15, 2014 10:07 PM

Saya tidak faham mengenai enterprise dan saya harap tuan dapat memberi nasihat kepada perkara ini.

Saudara saya mempunyai sebuah syarikat enterpise yang terdiri daripada 3 orang pengarah dan syarikat ini telah mendapat tawaran untuk menguruskan tanah kerajaan bagi tujuan pertanian. Salah seorang pengarah tersebut ingin menarik diri dan sesiapa yang berminat dikehendaki membayar sejumlah amaun yang dipersetujui. Persoalan saya, bagaimanakah jumlah tersebut ditentukan sedangkan sebuah enterprise tidak mempunyai modal dan sekiranya saya berminat bagaimana proses yang paling selamat di buat bayaran kepada pengarah tersebut. Terima kasih

JAWAPAN:
Waalaikumussalam Puan,
Untuk makluman Puan, bentuk perniagaan yang dijalankan adalah perniagaan perkongsian dimana perniagaan ini tertakluk di bawah Akta Perkongsian 1961. Perniagaan ini tidak mempunyai Pengarah tetapi dimiliki oleh rakan kongsi. Bagi perniagaan perkongsian, mereka terikat dengan surat perjanjian di antara rakan kongsi. Salah satu ciri yang terdapat di dalam surat ikatan tersebut selain daripada kuasa dan tanggungjawab rakan kongsi adalah sumbangan modal antara rakan-rakan kongsi mengikut nisbah modal yang dipersetujui seperti di dalam Artikel Perkongsian. Keuntungan dan kerugian juga diagihkan kepada rakan kongsi mengikut syarat-syarat dan nisbah modal yang disumbangkan.

Berbalik kepada persoalan Puan, untuk menentukan jumlah amaun yang perlu dibayar adalah bergantung kepada perjanjian yang telah dibuat antara rakan kongsi. Ini bermakna, berkemungkinan rakan kongsi yang ingin menarik diri daripada perkongsian tersebut telah membayar sejumlah wang modal mengikut persetujuan antara rakan kongsi dan mengkehendaki sesiapa yang berminat untuk membayar sejumlah wang yang telah ditetapkan kepada beliau sebagai pembayaran balik modal yang telah dikeluarkan.

Bagi persoalan yang seterusnya, antara cara bagi memastikan proses bayaran selamat dijalankan adalah dengan memperbaharui perjanjian antara rakan kongsi dengan meletakkan nama Puan sebagai rakan kongsi yang baru dan menyatakan juga jumlah modal yang telah disumbangkan oleh Puan. Bayaran pula perlulah dibuat melalui bank. Ini penting kerana slip pembayaran tersebut adalah sokongan sebagai pembuktian bahawa modal telahpun dikeluarkan daripada pihak Puan. Hal ini bagi memastikan tiada isu atau perkara berbangkit dikemudian hari.    

Sekian, dimaklumkan.

p/s : Harap dapat membantu
Terima kasih. 

RADZI & CO.
Chartered Accountants (M)

Friday, August 15, 2014

BAYAR CUKAI GUNA MYCOID



Petaling Jaya: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menyarankan agar lebih banyak pihak menggunakan inisiatif Nombor Identiti Korporat Malaysia (myCoID) dalam urusan pembayaran cukai kerana ia memudahkan individu memulakan perniagaan berdasarkan piawaian Bank Dunia.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohd Razali Hussain berkata, inisiatif terbabit diperkenalkan pada 2010, namun hanya beberapa agensi saja melaksanakannya seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Kami harap semua pihak akan menggunakan inisiatif ini seperti dilakukan kebanyakan negara maju bukan saja bagi pembayaran cukai, malah urusan lain seperti pendaftaran dan penutupan syarikat,” katanya pada Bisnes Metro, di sini., baru-baru ini.

MyCoID merujuk kepada nombor syarikat digunakan sebagai satu siri nombor rujukan tunggal untuk kegunaan pelbagai pendaftaran dan urusan dengan agensi kerajaan berkaitan.

Beliau berkata, kebanyakan urusan perniagaan pada masa ini menggunakan kod berasingan bagi setiap urusan dan ia dilihat mengekang pertumbuhan produktiviti setiap perniagaan di negara ini.

“Kami lihat apabila pelaksanaan inisiatif ini dilakukan secara menyeluruh, maka setiap peniaga mendapat kemudahan terbaik dalam menjalankan perniagaan sekali gus memperbaiki kedudukan negara dalam Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia bagi tahun depan,” katanya.

Laporan 2014 itu menyaksikan Malaysia menduduki tangga keenam daripada 189 negara iaitu peningkatan sebanyak 12 anak tangga berbanding tahun sebelumnya.

Negara mencatatkan peningkatan dalam enam daripada 10 petunjuk, namun mengalami penurunan bagi dua petunjuk dengan pembayaran cukai adalah petunjuk mencatatkan penurunan paling ketara iaitu daripada kedudukan 15 ke 36.



Razali berkata, MPC memiliki pasukan yang memberi fokus mengenai langkah meningkatkan petunjuk terbabit yang perbincangan lanjut dilakukan dengan sektor awam dan sektor swasta bagi menjadikan negara lebih kompetitif seperti Hong Kong dalam aspek pembayaran cukai.

“Laporan ini menunjukkan usahawan Malaysia perlu melakukan urusan membayar cukai lebih daripada tiga kali berbanding Hong Kong dalam satu kategori.

Kerjasama antara kedua sektor amat penting dalam meningkatkan produktiviti dan daya saing menjalankan perniagaan di negara ini,” katanya.

“Langkah terbabit juga perlu dilaksanakan memandangkan purata cukai keseluruhan menunjukkan peningkatan daripada 24.5 peratus pada tahun lalu kepada 36.3 peratus dan ia agak tinggi berbanding negara ASEAN lain,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan peningkatan cukai keuntungan hartanah (RGPT) dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang di laksanakan pihak kerajaan dilihat amat membantu dalam memastikan sistem pembayaran cukai lebih teratur dan produktif.

“Saya yakin polisi kerajaan mengenai pelaksanaan cukai pada masa ini akan memberi impak positif kepada negara dalam Laporan Menjalankan Perniagaan 2015 sekali gus turut membaiki sistem pembayaran cukai di Malaysia,” katanya.


Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25 ( Harian Metro, Sofyan Rizal Ishak )

Tuesday, July 22, 2014

Pengarah Syarikat


From : 'xxx'
To : radziandco@gmail.com
Sent : Saturday, July 5, 2014 8:18 PM

Salam sejahtera En. Radzi,

Saya ingin bertanya, contoh: saya ditawarkan pekerjaan (jawatan bergaji biasa) oleh Syarikat lain tetapi pada masa yang sama masih memegang jawatan sebagai Pengarah Syarikat (ditubuhkan sendiri bersama keluarga). Apakah implikasinya kepada saya dari segi perundangn? ATAU Perlukah saya meletakkan jawatan sebagai Pengarah Syarikat?

Sekian. Terima kasih.

Kelvin

JAWAPAN :

Salam Sejahtera Mr.Kelvin,

Tidak menjadi kesalahan dari segi Akta Syarikat untuk menjawat jawatan bergaji biasa di Syarikat lain dalam masa yang sama menjadi Pengarah Syarikat yang lain. Hal ini kerana, sebagai seorang pekerja, tiada kuasa yang boleh dikaitkan dengan apa-apa jawatan atau tugasan yang mempunyai kepentingan-kepentingan yang mungkin bercanggah dengan tugas dan kepentingan sebagai Pengarah Syarikat.

Akan tetapi, individu tersebut adalah dinasihatkan untuk membuat pendedahan secara rasmi kepada Syarikat akan perkara tersebut bagi mengelakkan segala pemasalahan di masa hadapan.
Oleh itu, Tuan tidak perlu untuk meletakkan jawatan sebagai Pengarah Syarikat tersebut kerana ianya tidak memberi implikasi yang negatif kepada jawatan yang disandang.
Diharap jawapan ini dapat membantu.

Sekian, terima kasih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...