TAGLINE

TAGLINE

Tuesday, November 1, 2016

RAYUAN SYARIKAT DAN PENGARAH DITOLAK, SABITAN DIKEKALKAN DAN DENDA DITINGKATKAN BAGI KESALAHAN MENAWARKAN SKIM PELABURAN TERNAKAN LINTAH KEPADA ORANG RAMAI



Isnin, 19hb September 2016 - Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak rayuan Syarikat Hidayyah Management & Services Sdn Bhd dan pengarah urusannya, Abdul Rahim Bin Mohd Amin, untuk mengenepikan sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atasnya dan Syarikat tersebut yang dibuat oleh Mahkamah Seksyen Shah Alam bagi kesalahan di bawah seksyen 91(1) dan 363(3) Akta Syarikat 1965.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Dato' Zulkifli Bakar yang mendengar rayuan tersebut turut membenarkan rayuan balas Pendakwaan  ke atas hukuman yang dikenakan ke atas Abdul Rahim dengan meningkatkan denda daripada RM25,000.00 kepada RM50,000.00, jika gagal bayar akan dikenakan 10 tahun penjara. Bagi Syarikat pula, denda telah ditingkatkan daripada RM50,000.00 kepada RM100,000.00. Abdul Rahim telah membayar denda tersebut.

Kedua-dua pertuduhan di bawah seksyen 91(1) dan 363(3) Akta Syarikat 1965 adalah berkaitan dengan penawaran satu skim pelaburan oleh Syarikat Al Hidayyah kepada orang ramai yang dikenali sebagai 'Skim Pulangan Balik Ternakan Lintah' yang mana skim tersebut tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Skim tersebut dipercayai telah mengutip sejumlah wang daripada orang ramai di antara 1 Jun 2008 - 31 Disember 2009 walaupun suratcara ikatan amanahnya (trust deed) tidak pernah didaftarkan di SSM.


Kesalahan di bawah seksyen 91(1) Akta Syarikat 1965 memperuntukkan hukuman maksimum 5 tahun penjara atau denda sebanyak RM100,000.00 atau kedua-duanya sekali. Manakala, kesalahan di bawah seksyen 363(3) memperuntukkan hukuman maksimum 10 tahun penjara atau denda sebanyak RM250,000.00.

SSM telah diwakili oleh Timbalan Pendakwaraya, Ku Hayati Ku Haron manakala kedua-dua tertuduh diwakili oleh peguam Abdul Halem Mohd Som pada prosiding rayuan tersebut.

Keputusan Mahkamah menolak rayuan dan meningkatkan hukuman denda kepada kedua-dua tertuduh dalam kes ini mencerminkan Mahkamah memandang berat kesalahan yang melibatkan Syarikat-Syarikat yang menawarkan skim kepentingan yang tidak berdaftar dengan pihak berkuasa kepada orang ramai kerana ia boleh memudaratkan kepentingan awam. Oleh itu, SSM mengesa Syarikat yang ingin membuat penawaran skim kepentingan kepada orang ramai supaya memastikan mereka mematuhi semua peruntukan undang-undang berkaitan penawaran skim kepentingan yang termaktub dalam Akta Syarikat 1965 terlebih dahulu.

SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA

20hb September 2016

Tuesday, January 19, 2016

Hutang Syarikat


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Tuan, saya XXX ingin bertanya kepada tuan mengenai hutang syarikat. Ceritanya begini. Saya adalah salah seorang pemegang saham sebuah syarikat sendirian berhad milik kawan saya. Saya hanya memegang saham hanya 1% (Sleeping Partner) dan 99% milik kawan saya. Segala operasi syarikat telah diuruskan sepenuhnya oleh kawan saya. Cukup sekadar kawan saya menggunakan nama saya dalam syarikat. Situasinya syarikat telah membuat satu pinjaman XXX bank dan syarikat gagal untuk membuat bayaran balik pinjaman tersebut sehingga surat saman dari pihak bank tersebut telah dikeluarkan. Dalam perjanjian pinjaman tersebut, saya sebagai penjamin kedua bagi pinjaman tersebut kerana pada surat perjanjian pinjaman tersebut perlu kepada pemegang saham menjadi penjamin. Saya hendak bertanya kepada tuan :
1. Apakah yang harus saya lakukan..??
2. Adakah saya kena bayar hutang syarikat itu sama nilai dengan kawan saya..??
3. Adakah akaun peribadi akan dibekukan sekiranya gagal membayar hutang tersebut..??
Mohon penjelasan daripada pihak tuan untuk permasalahan tersebut.

JAWAPAN
Waalaikummussalam Tuan,
Berdasarkan kepada undang-undang, liabiliti bagi Syarikat Sendirian Berhad adalah terhad kepada kemampuan Syarikat sahaja. Akan tetapi, Tuan secara sukarela telah menjadi penjamin kepada pinjaman Bank Syarikat ini. Oleh itu, adalah menjadi tanggunggjawab Tuan untuk membayar hutang tersebut mengikut kadar yang telah ditetapkan oleh pihak Bank. Adalah dinasihatkan pihak Tuan merujuk perkara tersebut kepada bank berkenaan bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat.
Selain itu, untuk makluman Tuan juga, sekiranya terdapat mana-mana peruntukan dalam artikel Syarikat mengecualikan Pengarah untuk menanggung rugi atau terhadap apa-apa liabiliti adalah tidak sah. Pengarah boleh menebus kembali liabiliti yang ditanggung jika penghakiman itu memihak kepada beliau.
Mahkamah mempunyai kuasa untuk melepaskan Pengarah berkaitan dari liabiliti yang ditanggung tanpa apa-apa prosiding bagi kecuaian, keingkaran, kemungkiran kewajipan atau pecah amanah jika pengarah bertindak jujur dan munasabah.
Sila rujuk pihak Setiausaha Syarikat Tuan, pihak SSM dan Peguam bagi mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci.
Diharap penjelasan ini sedikit sebanyak dapat membantu Tuan.

Sekian, terima kasih. 

Friday, June 12, 2015

Pengeluaran rakan kongsi

On Sunday, June 7, 2015 9:25 PM, xxxx wrote:



Soalan:

Assalamualaikum, 
Maafkan saya bertanya,macam mana nak keluarkan patner dari syarikat dan menjadikannya milik tunggal?

Jawapan:

Waalaikummusalam Tuan/Puan,
Untuk makluman Tuan/Puan, Syarikat Sdn. Bhd. dan perniagaan (Enterprised) adalah dua entiti yang berbeza. Perniagaan adalah berdasarkan Akta Perniagaan 1956, manakala Syarikat adalah berdasarkan Akta Syarikat 1965.

PERNIAGAAN (ENTERPRISE)

Terdapat dua situasi bagi mengeluarkan rakan kongsi yang telah didaftarkan di bawah Perniagaan Perkongsian iaitu:

a) Perniagaan Perkongsian tidak melebihi dua orang

Pada pendapat kami, sekiranya Perniagaan Tuan/Puan didaftarkan sebagai Perniagaan Perkongsian yang tidak melebihi dua orang. Perniagaan tersebut hendaklah disifatkan seperti dibubarkan.

Oleh itu, sekiranya Tuan /Puan masih berminat untuk meneruskan perniagaan tersebut, Tuan/Puan perlu mendaftarkan Perniagaan yang baru dibawah milikan Perniagaan Milikan Tunggal.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara ini, Tuan/Puan boleh merujuk pihak SSM bahagian Registrat of Business (ROB) .

b)Perniagaan Perkongsian melebihi dua orang

Manakala,sekiranya Perniagaan tersebut didaftarkan sebagai Perniagaan Perkongsia melebihi dua orang, rakan kongsi tersebut boleh dikeluarkan dengan membuat perubahan pemilikan di kaunter Registrar of Business (ROB) dipejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)

SYARIKAT SDN.BHD.

Bagi Syarikat Sdn. Bhd. pula, Pengarah tersebut boleh dikeluarkan melalui perletakan jawapan atau penyingkiran oleh Ahli Syarikat.

a)Perletakan jawatan

Perletakan jawatan Pengarah Syarikat boleh dilakukan pada bila-bila masa dan atas apa-apa alasan. Perletakan jawatan tersebut berkuatkuasa pada tarikh Lembaga Pengarah Syarikat menerima surat perletakan jawatan atau pada tarikh yang dinyatakan dalam surat atau mengikut peruntukan Artikel Syarikat.

b) Penyingkiran Pengarah

Penyingkiran Pengarah pula hanya boleh dilakukan oleh ahli Syarikat di dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (Extraordinary General Meeting EGM) sahaja.
Untuk makluman Tuan/Puan juga, berdasarkan Seksyen 122(6) dan 122(7) Akta Syarikat 1965, sekiranya bilangan Pengarah Syarikat akan menjadi kurang daripada dua orang Pengarah, perletakan jawatan tersebut adalah tidak sah kecuali jika perletakan jawatan tersebut adalah disebabkan oleh Pengarah Syarikat tersebut tidak layak memenuhi kelayakan atau menurut hal tidak layaknya dibawah Akta Syarikat atau mana-mana undang-undang bertulis yang lain. Oleh itu, Syarikat perlulah melantik Pengarah baru bagi menggantikan jawatan individu tersebut sekiranya bilangan Pengarah akan berkurang dari dua orang.

Sila rujuk pihak Setiausaha Tuan/Puan atau pihak SSM bagi mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci.




Wednesday, May 13, 2015

Modal Saham Syarikat





From:"xxx"
To:radziandco@yahoo.com
Sent:
Mei 12, 2015 11:17 AM
Subject: AUTHORIZED CAPITAL



Assalamualaikum,

Semoga En. Radzi sentiasa sihat & dibawah lindungan Allah.

Terima kasih encik atas blog encik yang banyak membantu saya memahami penubuhan syarikat.

Saya bercadang patner dengan kawan saya dan dia memang merupakan seorang usahawan & saya masih bekerja. Untuk projek ini, dia nak buka syarikat sdn. bhd & saya sbg salah seorang director.

Soalan saya:

1. Kalau authorized capital RM100k, tapi saya tak mampu untuk bagi modal yang banyak (mungkin sekitar RM10k je). Saya ad abaca boleh buat bayaran dalam bentuk tak tunai tapi tiada penerangan lanjut. Apakah bentuk tak tunai tu? Ssebab saya tak nak dia pegang saham banyak sangat sebab saya pun nak tentukan dasar-dasar syarikat. Klau boleh 50-50, jadi saya nak tau caranya.

2. Kalau dah ada pegangan saham, ini bermakna keuntungan akan dikongsi pada akhir tahun je la kan (bukan bulan-bulan atau bila-bila masa?) Dan keuntungan berdasarkan berapa modal yang saya bayar je la kan?

3. Director tu pemegang saham la kan? Dan bagaimana kalau saya tak bahar apa-apa modal?


4. Berkenaan soalan satu, RM10,000 adalah yang saya mampu bayar buat modal, mungkin patner saya tu ada RM50,000 untuk modal berbayar. Ini bermakna dia adalah pemegang saham yang terbanyak la kan. Dan bagaimana pula boleh jadi RM40,000 sedangkan authorized capital adalah RM100,000? Dan segala perjalanan (kos dll) syarikat adalah berdasarkan modal berbayar tu kan?

Mohon nasihat & pandangan encik,


Terima kasih.


En XXX


JAWAPAN:

Waalaikumsalam, Tuan.
Untuk makluman pihak Tuan,

1.  Modal Dibenarkan (Authorised capital) adalah limit/had yang dibenarkan untuk Syarikat bagi menerbitkan saham. Modal Dibenarkan ini bukanlah modal yang perlu ada, sebaliknya Modal Berbayar (Paid-up capital) adalah modal yang dilanggan dan dibayar samaada secara tunai mahupun selain daripada tunai. Modal Berbayar selain daripada tunai terdiri daripada kenderaan, bangunan, stok dan sebagainya. Ianya perlu dinilai pada nilai semasa dan munasabah. Paling terbaik adalah melalui penilaian bebas dan Professional.

Mengenai isu yang ditanya oleh pihak Tuan, sekiranya modal yang dapat dikeluarkan adalah berjumlah RM10,000 maka wang berkenaan merupakan Modal Berbayar bagi Syarikat dan Modal Dibenarkan adalah berjumlah RM 400,000 (jumlah Modal Dibenarkan yang terkini). Ahli Pemegang Saham boleh menerbitkan saham sehingga RM 400,000 sahaja.
Oleh yang demikian, pihak Tuan boleh menerbitkan saham berjumlah RM10,000 dibahagikan mengikut persetujuan bersama. Tuan boleh membahagikan 5,000 unit saham bagi setiap orang. Justeru itu, kuasa Pemegang Saham akan terbahagi secara sama rata. 

2.  Kebiasaanya,keuntungan semasa yang diperolehi oleh Syarikat boleh diagihkan kepada Pemegang Saham mengikut modal yang dibayar oleh mereka dalam bentuk dividen. Untuk mengetahui jumlah dividen tersebut, Syarikat perlu menyediakan penyata kewangan dalam tempoh setahun. Bagi Syarikat yang baru, dividen ini dikeluarkan setelah cukai Syarikat dibayar. Sekiranya Pengarah Syarikat mendapat keuntungan pada tahun tersebut, Pengarah boleh menjangkakan keuntungan pada tahun kewangan berikutnya dan dividen interim boleh dikeluarkan dan diambil pada setiap bulan.

3.  Pemegang saham tidak semestinya Pengarah dan sebaliknya. Ianya merupakan entiti berasingan. Sekiranya Tuan tidak mengeluarkan modal, maka Tuan boleh menjadi Pengarah Syarikat sahaja. Walaubagaimanapun, sekiranya Tuan merupakan Pemegang Saham, Tuan juga boleh menjadi Pengarah Syarikat. Pengarah Syarikat merupakan satu jawatan. Ianya dilantik dan boleh dipecat berdasarkan Akta Syarikat 1965.

4. Mengenai isu yang ditanya oleh pihak Tuan, sekiranya modal yang dapat dikeluarkan oleh Tuan adalah berjumlah RM10,000 dan partner Tuan adalah berjumlah RM50,000 maka partner Tuan merupakan Pemegang Saham Majoriti. Sementara itu, Modal Dibenarkan (Authorised capital) yang terkini yang dikeluarkan oleh pihak SSM adalah berjumlah RM400,000 dan bukannya RM100,000.
Apabila Syarikat telah ditubuhkan, Tuan perlu memasukkan Modal Berbayar tersebut di dalam akaun bank Syarikat sebagai bukti saham tersebut telah diterbitkan dan diagihkan mengikut jumlah pegangan saham Ahli. Kemudian, Modal Berbayar ini boleh dikeluarkan bagi tujuan perbelanjaan Syarikat

Nota:-

     Modal Dibenarkan
     : RM 400,000 (maksimum)
     Modal Berbayar
     : RM 2 (minimum)
       RM 400,000 (maksimum)

Modal Berbayar yang minimum adalah RM2 dan maksimum adalah RM400,000. Setiap Syarikat diberi pilihan untuk menerbitkan Modal Saham Berbayar mengikut pilihan masing-masing. Syarikat boleh menerbitkan sebanyak mana yang diinginkan tetapi tidak boleh melebihi RM400,000 daripada had yang dibenarkan. 


Terima kasih.  

Harap dapat membantu.

RADZI & CO.
Chartered Accountants (M)



Wednesday, January 14, 2015

Perletakan Jawatan Pengarah


Assalamualaikum Encik Radzi,

Saya xxx dari xxxxx Saya ingin bertanya bagaimana kiranya saya hendak meletakkan jawatan saya sebagai pengarah sedangkan dalam syarikat tersebut ada 6 pengarah termasuk saya. Saya tiada apa-apa kepentingan didalam syarikat tersebut dan saya tidak pernah di bayar elaun pengarah seperti yang dijanjikan. Kini syarikat tidak lagi beroperasi tetapi belum ditutup.

Pengarah utama tidak beri kerjasama kepada saya dan banyak mengelak bila saya katakan ingin keluar dari syarikat. Saya bimbang jika ada masalah lain nama saya terbabit. Ada ke cara untuk saya keluarkan nama saya dari syarikat tersebut? Saya berharap Encik Radzi dapat membantu saya bagimana cara terbaik untuk saya lakukan.

Terima kasih
xxx

Waalaikumsalam Tuan,

PENGARAH
Untuk makluman Tuan, perletakan jawatan Pengarah Syarikat boleh dilakukan pada bila-bila masa dan atas apa-apa alasan sekiranya bilangan Pengarah Syarikat tidak kurang daripada dua orang pengarah. Maksudnya, Syarikat perlu ada sekurang-kurangnya dua orang Pengarah (Seksyen 122, Akta Syarikat 1965). Berdasarkan situasi Tuan, perletakan jawatan tersebut boleh dilakukan kerana Syarikat mempunyai bilangan Pengarah yang mencukupi dan perkara tersebut berkuatkuasa pada tarikh Lembaga Pengarah Syarikat menerima surat perletakan jawatan atau pada tarikh yang dinyatakan dalam surat atau mengikut peruntukan Artikel Syarikat.

Untuk makluman Tuan juga, tiada peruntukan dalam mana-mana akta terutamanya dalam Akta Syarikat 1965 menyatakan elaun Pengarah adalah wajib dibayar kepada Pengarah. Kesimpulannya, Syarikat tidak terikat untuk membayar elaun Pengarah kepada setiap Pengarah melainkan perkara tersebut telah mendapat persetujuaan bersama daripada Pemegang Saham.

PEMEGANG SAHAM
Sekiranya Tuan adalah Pemegang Saham Syarikat pula, nama Tuan tidak boleh dikeluarkan selagi Tuan masih belum memindahkan bilangan saham yang Tuan pegang. Oleh itu, Tuan perlulah memindahkan saham tersebut bagi menarik diri dari Syarikat tersebut.
Adalah dinasihatkan Tuan untuk merujuk Setiausaha Syarikat bagi membolehkan Tuan memproses penarikan diri dari Syarikat tersebut. Hal ini kerana, Setiausaha Syarikat akan bertindak menyediakan dokumen yang berkaitan. Diharap penjelasan ini dapat membantu.
Sekian, terima kasih.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...