TAGLINE

TAGLINE
Showing posts with label ARTIKEL-ARTIKEL. Show all posts
Showing posts with label ARTIKEL-ARTIKEL. Show all posts

Wednesday, July 13, 2011

Jangkaan 48,000 Syarikat baru 2011

AZMI...sasar lebih 4,000 syarikat tahun ini
AZMI...sasar lebih 4,000 syarikat tahun ini
SURUHANJAYA Syarikat Malaysia (SSM) menyasarkan 48,000 syarikat baru akan berdaftar tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 4,000 berbanding 44,000 syarikat yang didaftarkan tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmi Ariffin berkata, sehingga Mei tahun ini, sebanyak 18,825 syarikat tempatan dan 20 syarikat asing baru diperbadankan.

“Kami menjalin kerjasama perkongsian strategik dengan Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) yang dijangka dapat menggalakkan pertumbuhan syarikat serta perniagaan di Malaysia,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama perkongsian strategik antara SSM dengan BSN dan TM di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Azmi berkata, melalui kerjasama strategik dengan TM, pelanggan boleh mendaftar perniagaan dengan melanggan pakej ‘Office In A Box’ serendah RM198 yang menawarkan perkhidmatan suara, jalur lebar, domain e-mel dan perkhidmatan tambah nilai yang disasarkan bagi perniagaan kecil dan sederhana (IKS).

Sementara itu, menerusi perjanjian kerjasama antara SSM dan BSN, BSN dilantik sebagai ejen pendaftaran pembaharuan perniagaan selama tiga tahun. “BSN mempunyai 389 cawangan di seluruh negara yang memberi kemudahan kepada komuniti peniaga yang tinggal di kawasan pedalaman dan jauh dari pejabat SSM untuk memperbaharui sijil pendaftaran perniagaan mereka.

“Walaupun caj tambahan RM3.50 dikenakan, ia dianggap berpatutan berbanding tanggungan kos pengangkutan untuk datang ke pejabat SSM,” katanya yang menjangka perolehan RM300,000 diraih menerusi perkhidmatan itu tahun ini.


DIKELUARKAN OLEH : myMetro
TARIKH : 13 JULY 2011

Wednesday, September 29, 2010

ARTIKEL : Main Kutu

MAIN kutu yang popular di kalangan masyarakat rupa-rupanya salah di sisi undang-undang. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Aktiviti main kutu yang popular di Malaysia dan banyak dianjurkan secara kecil-kecilan di kalangan masyarakat di negara ini sejak dahulu lagi rupa-rupanya salah di sisi undang-undang.

Ramai yang tidak menyedari hakikat itu. Mengikut undang-undang, tidak ada individu mahupun syarikat di negara ini dibenarkan menganjurkan pelaburan wang kutu termasuk aktiviti mengutip wang orang lain bagi tujuan membina rangkaian perniagaan.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhd. Redzuan Abdullah berkata, kegiatan itu dilarang mengikut Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971.

"Pelaburan itu sama sekali tidak dibenarkan memandangkan ia menimbulkan kekhuatiran berlaku penyelewengan yang akan merugikan pelaburnya.

"Skim kutu diharamkan. Jika sabit kesalahan individu terbabit bakal berhadapan dengan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 3 akta yang sama," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

DIKELUARKAN OLEH : KOSMO
TARIKH : 30 SEPT. 2010

Sunday, August 15, 2010

ARTIKEL 5 : 11,631 Syarikat Ditutup


11,631 Syarikat Ditutup Dalam Tempoh 6 bulan
KUALA LUMPUR 15 Ogos - Sebanyak 11,631 buah syarikat berdaftar di Malaysia 'gulung tikar' dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, mengatasi jumlah keseluruhan tahun lepas sebanyak 11,409 buah syarikat.

Daripada jumlah tersebut sebanyak 10,879 buah syarikat dinyah senarai di bawah seksyen 308 Akta Syarikat 1965 yang melibatkan garis panduan syarikat tidak beroperasi, 737 buah ditutup secara sukarela dan 15 lagi melibatkan syarikat asing.

Jika angka ini diambil kira, dijangkakan jumlah keseluruhan syarikat yang ditutup pada tahun ini akan meningkat sekali ganda berbanding tahun lalu dan mungkin menghampiri rekod tertinggi sebanyak 27,913 buah yang dicatatkan pada tahun 2008.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Operasi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Rokiah Mohd. Noor berkata, pihaknya mengenalpasti tiga punca utama syarikat ditutup iaitu disabit kesalahan di bawah seksyen 308 Akta Syarikat 1965, secara sukarela dan arahan daripada mahkamah.

Menurutnya, berdasarkan kajian yang dilakukan SSM, kebanyakan syarikat terpaksa ditutup akibat melanggar peraturan seperti gagal menghantar penyata laporan tahunan dan tidak aktif selama beberapa tahun.

"Sebelum sesebuah syarikat ditamatkan, mereka akan diberikan notis dan gazet sebanyak dua kali sebagai amaran.

"Jika tiada sebarang maklum balas daripada syarikat yang berkenaan, SSM berkuasa menyah senarai syarikat mereka,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Rokiah turut menafikan bahawa peningkatan jumlah penutupan syarikat pada enam bulan pertama tahun ini disebabkan oleh krisis ekonomi yang berlarutan sejak tahun lepas.

Beliau berkata, jumlah tersebut adalah perkara biasa dan penutupan syarikat disebabkan faktor kegagalan syarikat baharu bertahan khususnya melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Setiap tahun syarikat yang berdaftar di bawah SSM sentiasa meningkat dan faktor inilah yang menyebabkan syarikat yang gagal juga meningkat.

"Mereka gagal bukan disebabkan faktor ekonomi semasa tetapi adalah disebabkan masalah dalaman individu atau syarikat tersebut,'' ujarnya.

Katanya, jumlah syarikat besar 'gulung tikar' adalah perkara biasa dan tidak wajar jika perkara tersebut dikaitkan dengan kegawatan ekonomi semata-mata. Tambahnya lagi, tindakan SSM mengemaskini laporan tahunan setiap syarikat juga menjadi faktor semakin banyak syarikat tidak aktif ditutup.

"Contohnya pada tahun 2008, sebanyak 27,913 buah syarikat disahkan ditutup setelah SSM menjalankan 'Ops Bersih' sejak akhir 2007.

"Sejak 2002, sebanyak 100,763 buah syarikat telah dinyah senarai,'' jelasnya.

Sehingga Jun 2010, sebanyak 905,539 syarikat berdaftar dengan SSM yang masih aktif dan 901,196 daripadanya adalah syarikat tempatan manakala 4,343 adalah syarikat asing. Daripada jumlah tersebut PKS menyumbang 99.2 peratus daripadanya dan hanya kira-kira 1,000 buah syarikat yang disenaraikan sebagai syarikat senaraian awam.



DIKELUARKAN OLEH : UTUSAN MALAYSIA

TARIKH : 15 OGOS 2010

Tuesday, July 20, 2010

ARTIKEL 4 : Berniaga Tanpa Entiti yang Disahkan


400 Usahawan menerusi talian dikenakan tindakan tidak daftar perniagaan PULAU PINANG:

Dalam tempoh dua tahun lalu kerajaan sudah mengambil tindakan terhadap 400 individu yang menjalankan perniagaan menerusi Internet kerana tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, kesemua mereka dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 12 (1)(a) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Pindaan 2001) yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

"Individu atau syarikat yang menjalankan perniagaan menggunakan laman web atau Internet sebenarnya tidak terkecuali dan mesti mendaftarkan perniagaan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Dialog Amalan Perniagaan Beretika Zon Utara, di sini hari ini.

Katanya, langkah itu bertujuan melindungi pengguna daripada unsur penipuan selain memastikan peniaga mematuhi etika perniagaan.

Beliau berkata, kerajaan juga menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sentiasa memantau laman web yang menjalankan perniagaan bagi mengesan pihak yang gagal mendaftarkan perniagaan mereka.

"Kita mahu golongan ahli perniagaan mempunyai kesedaran bahawa mereka mempunyai tanggungjawab dan kod etika yang harus dipatuhi supaya pengguna tidak menjadi mangsa penipuan," katanya.-Bernama

DIKELUARKAN OLEH : HARIAN METRO
TARIKH : 20 JULAI 2010

Tuesday, March 30, 2010

ARTIKEL 3 : Siaran Akhbar Tarikh [17 DISEMBER 2009]

TINDAKAN PEMANTAUAN TERHADAP SETIAUSAHA SYARIKAT YANG HILANG KELAYAKAN DI BAWAH SEKSYEN 139C AKTA SYARIKAT 1965

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menjalankan pemantauan terhadap aktiviti setiausaha syarikat bagi memastikan etika kesetiausahaan sentiasa dititikberatkan. Di dalam Akta Syarikat 1965 (AS) jelas memperuntukkan bahawa sesebuah syarikat itu hendaklah dikendalikan oleh individu yang sesuai dan layak sahaja.

Setiausaha syarikat perlu memastikan bahawa beliau bukan seorang yang telah hilang kelayakan di bawah Seksyen 139C(1) AS 1965. Di bawah seksyen ini, seseorang dikatakan telah hilang kelayakan sebagai setiausaha syarikat apabila beliau adalah seorang bankrap yang belum dilepaskan atau telah disabitkan kesalahan oleh mana-mana mahkamah samada di dalam atau di luar Malaysia seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 130(1) AS 1965 iaitu:
(a) dengan apa-apa kesalahan berhubung dengan penganjuran pembentukan atau pengurusan perbadanan; 
(b) dengan apa-apa kesalahan melibatkan fraud atau tidak jujur dihukum di atas sabit kesalahan dengan penjara untuk tiga bulan atau lebih; atau 
 (c) apa-apa kesalahan di bawah seksyen 132, 132A atau 303

Selain itu, seseorang individu tidak boleh tertindak sebagai setiausaha syarikat melainkan beliau merupakan ahli badan-badan yang diiktiraf di bawah Seksyen 139A(a) AS 1965 atau memiliki lesen kesetiausahaan yang diiktiraf oleh SSM di bawah seksyen 139B AS 1965.

Setiausaha syarikat perlu membuat perakuan berkanun seperti yang telah diperuntukkan di bawah Seksyen 139(6) AS 1965 bagi mengesahkan bahawa perlantikan beliau tidak bercanggah dengan peruntukkan di bawah seksyen 139A dan Seksyen 139C AS 1965. Setiausaha syarikat juga perlu menyatakan nombor lesen atau nombor ahli badan profesional yang dianggotai oleh beliau dalam setiap dokumen berkanun syarikat yang ditandatangani oleh beliau. Syarat ini jelas dinyatakan dalam Peraturan 18(3), Peraturan Syarikat 1966.

Namun, terdapat segelintir setiausaha syarikat yang masih gagal mematuhi kehendak peruntukan-peruntukan yang dinyatakan di atas dengan terus menerus bertindak sebagai setiausaha syarikat walaupun telah hilang kelayakan untuk berbuat demikian.

SSM telah mengambil tindakan penguatkuasaan pro-aktif seperti membatalkan lesen kesetiausahaan, menyenarai hitam nama dari daftar, mengenakan kompaun dan juga tindakan pendakwaan ke atas individu-individu yang telah melanggar peruntukan-peruntukan AS yang berkenaan. Antara tindakan-tindakan penguatkuasaan yang telah dijalankan oleh SSM sepanjang tahun 2009 adalah seperti berikut :

(1) Membatalkan lesen kesetiausahaan Roslina binti Ahmad, LS0005922 pada 13 Ogos 2009 kerana telah disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 364A(1)(a) AS 1965 oleh Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur di dalam kapasitinya sebagai setiausaha syarikat Darul Ehsan Food Supply Sdn Bhd. Beliau juga dilantik sebagai setiausaha kepada 267 buah syarikat dan merupakan pengarah kepada 4 buah syarikat.

(2) Membatalkan lesen kesetiausahaan Rosman bin Hamzah, LS0001956 pada 15 September 2009 kerana terus menerus bertindak sebagai setiausaha kepada 214 syarikat sedangkan beliau telah diisytiharkan bankrap pada 22 Jun 2005. Antara syarikat-syarikat tersebut, sebanyak 87 buah syarikat ditubuhkan selepas beliau diisytiharkan sebagai bankrap. Perbuatan beliau ini adalah bercanggah dengan peruntukan Seksyen 139C(1)(a) AS 1965.

(3) Menyenarai hitamkan 39 setiausaha syarikat dari daftar termasuk 2 bekas ahli badan professional dari MIA dan Majlis Peguam Malaysia kerana terus menerus bertindak sebagai setiausaha syarikat tanpa lesen kesetiausahaan yang sah. Kesalahan ini telah dikesan oleh SSM melalui pemeriksaan data.

Tindakan pemantauan yang dijalankan ini adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 139C(3) AS 1965 yang melarang setiausaha syarikat untuk terus bertindak tanpa kelayakan. Seksyen ini juga melarang pengarah-pengarah syarikat daripada melantik setiausaha syarikat yang telah hilang kelayakan. Mana-mana pihak yang gagal untuk mematuhi peruntukan di atas, kompaun tidak melebihi RM5,000.00 atau tindakan pendakwaan akan dikenakan.

Seksyen 139C(2) Akta Syarikat 1965 menghendaki setiausaha syarikat sentiasa bersikap prihatin dan jujur dalam menjalakan tanggungjawab sebagai setiausaha syarikat dan memastikan peruntukan Akta Syarikat sentiasa dipatuhi. SSM yakin perlaksanaan penguatkuasaan seimbang yang diambil dapat memastikan urus tadbir korporat yang positif diamalkan oleh setiausaha-setiausaha syarikat selaras dengan peruntukan-peruntukan di bawah Akta Syarikat.

Friday, August 21, 2009

ARTIKEL 2 : Peranan Setiausaha Syarikat

Artikel : Bernama.com
MAICSA Pandang Berat CCM Denda Setiausaha Syarikat
KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Institut Setiausaha dan Pentadbir Berkanun Malaysia (MAICSA) memandang berat tindakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (CCM) terhadap setiausaha syarikat.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, MAICSA berkata CCM telah mengenakan kompaun ke atas setiausaha syarikat secara peribadi dengan jumlah denda yang besar kerana gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) dan mengemukakan penyata tahunan selaras dengan Akta Syarikat 1965.

"Ahli-ahli kami dikenakan denda semata-mata kerana CCM mentafsirkan kata-kata 'pegawai yang mungkir' secara umum dan mudah dalam menguatkuasakan pematuhan ke atas syarikat dalam soal mengadakan AGM.

"CCM tidak harus menggunakan kuasa budi bicaranya apabila mengenakan kompaun ke atas setiausaha syarikat bagi kesalahan berkanun, yang di luar bidang kuasa dan kawalan mereka," katanya. MAICSA berkata sungguhpun setiausaha syarikat termasuk dalam kumpulan yang ditakrifkan sebagai 'pegawai', mereka hanya memberikan khidmat nasihat kepada lembaga pengarah.

"Kedudukan setiausaha syarikat berhubung pemanggilan mesyuarat agung dan AGM syarikat sentiasa tertakluk kepada arahan yang diberikan oleh pengerusi atau lembaga pengarah. "Tanpa AGM diadakan, setiausaha syarikat tidak dapat mengemukakan penyata tahunan seperti yang disyaratkan di bawah Akta itu," katanya.

Sementara itu, presiden MAICSA, Akbar Moidunny, berkata beliau telah memberikan penjelasan dan menyuarakan masalah ahli-ahlinya berhubung isu kompaun itu semasa Dialog CCM Malaysia Timur 2007 pada November. Beliau berkata CCM telah bersetuju untuk mengkaji semula perkara ini dan ahli-ahli yang merasakan mereka telah didenda secara tidak sewajarnya haruslah menghubungi pegawai-pegawai CCM dan mengemukakan bukti bertulis mengenai tahap pelaksanaan kewajipan sebagai setiausaha bagi syarikat yang dikenakan kompaun, katanya.

ARTIKEL 1 : Peranan Setiausaha Syarikat

Artikel : Bernama.com
Setiausaha syarikat di Malaysia yang bertindak sebagai penasihat kepada lembaga pengarah tentang tadbir urus korporat, seharusnya memainkan peranan yang lebih proaktif dan bertanggung jawab dalam menyuburkan amalan tadbir urus korporat yang kukuh bagi syarikat senaraian awam.

Naib Presiden Institut Setiausaha dan Pentadbir Berkanun Malaysia (MAICSA) Dr. Cheah Foo Seong berkata, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia berpandangan setiausaha syarikat adalah sebagai penasihat kepada lembaga pengarah dalam hal ehwal Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia, yang merupakan prinsipal dan amalan terbaik tadbir urus bagi syarikat Malaysia.

“Walau pun duduk sebaris dengan ahli lembaga pengarah, setiausaha syarikat, tidak mengambil bahagian dalam membuat keputusan tetapi tugasnya banyak membabitkan catatan minit, memberi nasihat mengenai prosedur mesyuarat, undang-undang dan peraturan yang perlu diikuti ahli lembaga pengarah dalam menjalankan tugas mereka,” katanya.

Dalam hal ini, Foo Seong berkata, setiausaha syarikat seharusnya bertindak sebagai penjaga yang berkesan dalam mengawasi aktiviti tadbir urus syarikat dan dalam keadaan berjaga-jaga terhadap sebarang tindakan yang mungkin menyalahi undang-undang dan peraturan, terutamanya berkaitan dengan Akta Syarikat, keperluan penyenaraian Bursa Malaysia dan Akta Perkhidmatan Pasaran Modal.

Setiausaha syarikat dikenali sebagai pegawai yang mengendalikan semua hal ehwal perundangan berkaitan dengan janji niaga perniagaan oleh syarikat dan oleh kerana itu dalam keadaan di mana satu-satu syarikat itu didapati melakukan salah laku, seseorang setiausaha itu, baik lelaki mahu pun perempuan, boleh disabitkan sebagai pesalah, kata Foo Seong kepada Bernama dalam satu temuramah baru-baru ini.

“Setiausaha syarikat juga dikenali kerana tugasnya yang lain iaitu dalam memastikan kesemua rekod syarikat termasuk keputusan yang dibuat dalam mesyuarat syarikat dan rekod para pemegang saham dan pengarah dikemas kini selari dengan pematuhan terhadap kehendak perundangan,” katanya.

Setiausaha syarikat berkedudukan unik bagi mengawasi amalan tadbir urus korporat memandangkan setiausaha duduk dengan ahli lembaga pengarah dan membantu pengerusi lembaga pengarah dalam menyediakan, mengendalikan dan melaporkan hasil keputusan mesyuarat lembaga pengarah dan mesyuarat agung syarikat.
Beliau menekankan bahawa sementara tugas profesional setiausaha syarikat di Malaysia telah berkembang dengan pesatnya, mereka tidak boleh memaksa pengarah supaya mendengar nasihat mereka.

Dalam banyak keadaan, Dr Cheah berkata setiausaha syarikat didapati tidak sedar tentang pengarah yang tidak mematuhi peraturan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja/EPF, duti Kastan dan Eksais, serta undang-undang berkaitan cukai majikan dan cukai pendapatan.

"Walau pun setiausaha syarikat tidak terlibat dalam tugas pengurusan, dia masih boleh dikaitkan sebagai pesalah menurut satu-satu undang-undang itu berdasarkan kedudukannya sebagai seorang pegawai syarikat," katanya.

Dr Cheah menekankan bahawa ini adalah masanya bagi sesiapa yang mewujudkan undang-undang itu dapat menghargai fungsi setiausaha syarikat cuma sebagai pentadbir serta kerja dan tugas mereka secara semulajadinya mentadbir, memandangkan mereka tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan dan tidak menjalankan satu-satu perniagaan.

Bagaimana pun, terdapat peruntukan di bawah Akta Syarikat yang melindungi kepentingan setiausaha syarikat, kata Dr Cheah.

Contohnya, apabila seorang setiausaha itu menyedari berlakunya sebarang salah laku dan melaporkannya kepada pihak berkuasa undang-undang berkaitan, dia akan dilindungi dari pembuangan, diskriminasi atau campur tangan dan gangguan.

Di segi isu penzahiran, akauntabiliti dan ketelusan, setiausaha syarikat, kata Dr Cheah seharusnya memainkan peranan yang amat penting dalam menasihati lembaga pengarah berkaitan isu sebegini.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...