TAGLINE

TAGLINE

Sunday, August 15, 2010

ARTIKEL 5 : 11,631 Syarikat Ditutup


11,631 Syarikat Ditutup Dalam Tempoh 6 bulan
KUALA LUMPUR 15 Ogos - Sebanyak 11,631 buah syarikat berdaftar di Malaysia 'gulung tikar' dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, mengatasi jumlah keseluruhan tahun lepas sebanyak 11,409 buah syarikat.

Daripada jumlah tersebut sebanyak 10,879 buah syarikat dinyah senarai di bawah seksyen 308 Akta Syarikat 1965 yang melibatkan garis panduan syarikat tidak beroperasi, 737 buah ditutup secara sukarela dan 15 lagi melibatkan syarikat asing.

Jika angka ini diambil kira, dijangkakan jumlah keseluruhan syarikat yang ditutup pada tahun ini akan meningkat sekali ganda berbanding tahun lalu dan mungkin menghampiri rekod tertinggi sebanyak 27,913 buah yang dicatatkan pada tahun 2008.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Operasi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Rokiah Mohd. Noor berkata, pihaknya mengenalpasti tiga punca utama syarikat ditutup iaitu disabit kesalahan di bawah seksyen 308 Akta Syarikat 1965, secara sukarela dan arahan daripada mahkamah.

Menurutnya, berdasarkan kajian yang dilakukan SSM, kebanyakan syarikat terpaksa ditutup akibat melanggar peraturan seperti gagal menghantar penyata laporan tahunan dan tidak aktif selama beberapa tahun.

"Sebelum sesebuah syarikat ditamatkan, mereka akan diberikan notis dan gazet sebanyak dua kali sebagai amaran.

"Jika tiada sebarang maklum balas daripada syarikat yang berkenaan, SSM berkuasa menyah senarai syarikat mereka,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Rokiah turut menafikan bahawa peningkatan jumlah penutupan syarikat pada enam bulan pertama tahun ini disebabkan oleh krisis ekonomi yang berlarutan sejak tahun lepas.

Beliau berkata, jumlah tersebut adalah perkara biasa dan penutupan syarikat disebabkan faktor kegagalan syarikat baharu bertahan khususnya melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Setiap tahun syarikat yang berdaftar di bawah SSM sentiasa meningkat dan faktor inilah yang menyebabkan syarikat yang gagal juga meningkat.

"Mereka gagal bukan disebabkan faktor ekonomi semasa tetapi adalah disebabkan masalah dalaman individu atau syarikat tersebut,'' ujarnya.

Katanya, jumlah syarikat besar 'gulung tikar' adalah perkara biasa dan tidak wajar jika perkara tersebut dikaitkan dengan kegawatan ekonomi semata-mata. Tambahnya lagi, tindakan SSM mengemaskini laporan tahunan setiap syarikat juga menjadi faktor semakin banyak syarikat tidak aktif ditutup.

"Contohnya pada tahun 2008, sebanyak 27,913 buah syarikat disahkan ditutup setelah SSM menjalankan 'Ops Bersih' sejak akhir 2007.

"Sejak 2002, sebanyak 100,763 buah syarikat telah dinyah senarai,'' jelasnya.

Sehingga Jun 2010, sebanyak 905,539 syarikat berdaftar dengan SSM yang masih aktif dan 901,196 daripadanya adalah syarikat tempatan manakala 4,343 adalah syarikat asing. Daripada jumlah tersebut PKS menyumbang 99.2 peratus daripadanya dan hanya kira-kira 1,000 buah syarikat yang disenaraikan sebagai syarikat senaraian awam.



DIKELUARKAN OLEH : UTUSAN MALAYSIA

TARIKH : 15 OGOS 2010

Tuesday, July 20, 2010

ARTIKEL 4 : Berniaga Tanpa Entiti yang Disahkan


400 Usahawan menerusi talian dikenakan tindakan tidak daftar perniagaan PULAU PINANG:

Dalam tempoh dua tahun lalu kerajaan sudah mengambil tindakan terhadap 400 individu yang menjalankan perniagaan menerusi Internet kerana tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, kesemua mereka dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 12 (1)(a) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Pindaan 2001) yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

"Individu atau syarikat yang menjalankan perniagaan menggunakan laman web atau Internet sebenarnya tidak terkecuali dan mesti mendaftarkan perniagaan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Dialog Amalan Perniagaan Beretika Zon Utara, di sini hari ini.

Katanya, langkah itu bertujuan melindungi pengguna daripada unsur penipuan selain memastikan peniaga mematuhi etika perniagaan.

Beliau berkata, kerajaan juga menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sentiasa memantau laman web yang menjalankan perniagaan bagi mengesan pihak yang gagal mendaftarkan perniagaan mereka.

"Kita mahu golongan ahli perniagaan mempunyai kesedaran bahawa mereka mempunyai tanggungjawab dan kod etika yang harus dipatuhi supaya pengguna tidak menjadi mangsa penipuan," katanya.-Bernama

DIKELUARKAN OLEH : HARIAN METRO
TARIKH : 20 JULAI 2010

Tuesday, March 30, 2010

ARTIKEL 3 : Siaran Akhbar Tarikh [17 DISEMBER 2009]

TINDAKAN PEMANTAUAN TERHADAP SETIAUSAHA SYARIKAT YANG HILANG KELAYAKAN DI BAWAH SEKSYEN 139C AKTA SYARIKAT 1965

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menjalankan pemantauan terhadap aktiviti setiausaha syarikat bagi memastikan etika kesetiausahaan sentiasa dititikberatkan. Di dalam Akta Syarikat 1965 (AS) jelas memperuntukkan bahawa sesebuah syarikat itu hendaklah dikendalikan oleh individu yang sesuai dan layak sahaja.

Setiausaha syarikat perlu memastikan bahawa beliau bukan seorang yang telah hilang kelayakan di bawah Seksyen 139C(1) AS 1965. Di bawah seksyen ini, seseorang dikatakan telah hilang kelayakan sebagai setiausaha syarikat apabila beliau adalah seorang bankrap yang belum dilepaskan atau telah disabitkan kesalahan oleh mana-mana mahkamah samada di dalam atau di luar Malaysia seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 130(1) AS 1965 iaitu:
(a) dengan apa-apa kesalahan berhubung dengan penganjuran pembentukan atau pengurusan perbadanan; 
(b) dengan apa-apa kesalahan melibatkan fraud atau tidak jujur dihukum di atas sabit kesalahan dengan penjara untuk tiga bulan atau lebih; atau 
 (c) apa-apa kesalahan di bawah seksyen 132, 132A atau 303

Selain itu, seseorang individu tidak boleh tertindak sebagai setiausaha syarikat melainkan beliau merupakan ahli badan-badan yang diiktiraf di bawah Seksyen 139A(a) AS 1965 atau memiliki lesen kesetiausahaan yang diiktiraf oleh SSM di bawah seksyen 139B AS 1965.

Setiausaha syarikat perlu membuat perakuan berkanun seperti yang telah diperuntukkan di bawah Seksyen 139(6) AS 1965 bagi mengesahkan bahawa perlantikan beliau tidak bercanggah dengan peruntukkan di bawah seksyen 139A dan Seksyen 139C AS 1965. Setiausaha syarikat juga perlu menyatakan nombor lesen atau nombor ahli badan profesional yang dianggotai oleh beliau dalam setiap dokumen berkanun syarikat yang ditandatangani oleh beliau. Syarat ini jelas dinyatakan dalam Peraturan 18(3), Peraturan Syarikat 1966.

Namun, terdapat segelintir setiausaha syarikat yang masih gagal mematuhi kehendak peruntukan-peruntukan yang dinyatakan di atas dengan terus menerus bertindak sebagai setiausaha syarikat walaupun telah hilang kelayakan untuk berbuat demikian.

SSM telah mengambil tindakan penguatkuasaan pro-aktif seperti membatalkan lesen kesetiausahaan, menyenarai hitam nama dari daftar, mengenakan kompaun dan juga tindakan pendakwaan ke atas individu-individu yang telah melanggar peruntukan-peruntukan AS yang berkenaan. Antara tindakan-tindakan penguatkuasaan yang telah dijalankan oleh SSM sepanjang tahun 2009 adalah seperti berikut :

(1) Membatalkan lesen kesetiausahaan Roslina binti Ahmad, LS0005922 pada 13 Ogos 2009 kerana telah disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 364A(1)(a) AS 1965 oleh Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur di dalam kapasitinya sebagai setiausaha syarikat Darul Ehsan Food Supply Sdn Bhd. Beliau juga dilantik sebagai setiausaha kepada 267 buah syarikat dan merupakan pengarah kepada 4 buah syarikat.

(2) Membatalkan lesen kesetiausahaan Rosman bin Hamzah, LS0001956 pada 15 September 2009 kerana terus menerus bertindak sebagai setiausaha kepada 214 syarikat sedangkan beliau telah diisytiharkan bankrap pada 22 Jun 2005. Antara syarikat-syarikat tersebut, sebanyak 87 buah syarikat ditubuhkan selepas beliau diisytiharkan sebagai bankrap. Perbuatan beliau ini adalah bercanggah dengan peruntukan Seksyen 139C(1)(a) AS 1965.

(3) Menyenarai hitamkan 39 setiausaha syarikat dari daftar termasuk 2 bekas ahli badan professional dari MIA dan Majlis Peguam Malaysia kerana terus menerus bertindak sebagai setiausaha syarikat tanpa lesen kesetiausahaan yang sah. Kesalahan ini telah dikesan oleh SSM melalui pemeriksaan data.

Tindakan pemantauan yang dijalankan ini adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 139C(3) AS 1965 yang melarang setiausaha syarikat untuk terus bertindak tanpa kelayakan. Seksyen ini juga melarang pengarah-pengarah syarikat daripada melantik setiausaha syarikat yang telah hilang kelayakan. Mana-mana pihak yang gagal untuk mematuhi peruntukan di atas, kompaun tidak melebihi RM5,000.00 atau tindakan pendakwaan akan dikenakan.

Seksyen 139C(2) Akta Syarikat 1965 menghendaki setiausaha syarikat sentiasa bersikap prihatin dan jujur dalam menjalakan tanggungjawab sebagai setiausaha syarikat dan memastikan peruntukan Akta Syarikat sentiasa dipatuhi. SSM yakin perlaksanaan penguatkuasaan seimbang yang diambil dapat memastikan urus tadbir korporat yang positif diamalkan oleh setiausaha-setiausaha syarikat selaras dengan peruntukan-peruntukan di bawah Akta Syarikat.

Friday, August 21, 2009

PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB

Menurut SSM Sehingga 31 Disember 2006 terdapat 752,074 syarikat tempatan dan 4,172 syarikat asing telah didaftarkan di Malaysia. Ini bermakna kalau diambil pukul rata satu syarikat minimum mempunyai 2 orang pengarah bermakna di Malaysia terdapat 1,512,492 orang Pengarah syarikat. Namun begitu kebanyakkan mereka tidak arif tentang pengurusan syarikat dan sesetengah itu, tidak pernah membaca malah tidak pernah melihat Akta Syarikat & Memorandom & Artikel Syarikat mereka.Mengikut fakta, 300 orang Pengarah syarikat telah pun disaman pada tahun ini dan baki nya hanya menungu waktu untuk diambil tindakan. Di mana kompaun yang telah dikeluarkan oleh SSM adalah sebanyak 286,184 ribu dengan nilai nya sebanyak RM 47.7 juta. Antara kesalahan utama yang sering dilakukan oleh pemilik syarikat tanpa disedari ialah :

1) Tidak Mengadakan Mesyuarat Agung tahunan : Adalah wajib untuk untuk syarikat mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan(MAT) sekali bagi setiap tahun. Seksyen 143(1).
Punca: Lalai, tidak tahu, tiada lapuran Kewangan dan syarikat dorman atau tidak aktif.
Hukuman : Setiap syarikat dan pegawai syarikat boleh didenda RM 5,000.00.

2) Syarikat diwajibkan untuk menyediakan penyata tahunan yang dibuat pada tarikh MAT diadakan. Penyata tahunan yang telah disiapkan hendaklah ditandatangani oleh pengurus dan setiausaha syarikat dan diserahkan kepada SSM. Serahan hendaklah dibuat bersama akaun yang telah diaudit. Seksyen 165(1)
Punca : MAT tidak diadakan, Laporan Audit kewangan tiada.
Hukuman : Denda tidak melebihi RM2,000.00.

3) Penyimpanan semua rekod perakaunan, seperti resit, inbois, cek, nota perjanjian dll. yang bersangkutan untuk menerangkan kaedah pengiraan laporan kewangan dan laporan audit. Seksyen 4.
Punca: Lalai, cuai
Hukuman : Penjara 5 tahun dan denda sehingga RM 30,000.00

4) Membentangkan Laporan akuan yang telah diaudit dalam MAT. Seksyen 169(1)(3)(5).
Punca : Tiada Laporan kewangan dicatatkan
Hukuman : Penjara 5 tahun dan denda sehingga RM 30,000.00.

5) Penyata Palsu dan Mengelirukan : Dilarang menyediakan maklumat palsu dan mengelirukan dalam dokumen yang dikehendaki atau bagi pematuha akta syarikat. Seksyen 364(2).
Punca: Lari dari membayar cukai, Menipu
Hukuman : Penjara 10 tahun dan denda sehingga RM 250,000.00.

Ada banyak lagi kesalahan utama yang sering dilakukan seperti tidak membayar EPF, Hutang Piutang, Bankrup, Rasuah dan Jenayah kolar putih yang boleh mengakibatkan pengarah didenda, dipenjara malah disebat dibawah kesalahan "CBT". Harus diingatkan bahawa semua lembaga pengarah, termasuk pengarah nominee atau disebut proxi malah pengarah “sleeping partner” juga akan dikenakan tindakan walaupun, dia tidak bersangkutan dengan kuasa kelulusan, jadi berhati-hatilah barang siapa yang sanggup menawarkan diri sebagai pengarah syarikat.

Bagi Syarikat yang tidak aktif atau dorman, maka haruslah pengarah-pengarah itu menutup syarikat tersebut, kerana selagi syarikat itu berdaftar di SSM maka ia tertakluk kepada akta syarikat. Ingatlah untuk membuka syarikat memang mudah hanya beri duit RM 2500.00 maka kita akan dapat sebuah syarikat, tetapi harus diingat bahawa penyediaan kos wajib adalah lebih kurang sebanyak RM6,000.00 harus diperuntukkan untuk pembayaran kos mesyuarat, penyata dan pengauditan sahaja. Malah ketahuilah untuk menutup sebuah syarikat Sdn. Bhd. Memerlukan kita mengorbankan kos lebih kurang RM 15,000.00 hingga ke RM 20,000.00, tidak termasuk kos pelupusan liabiliti seperti hutang piutang(amat mahal jika dibandingkan dengan kos untuk membuka sebuah syarikat).

Salah satu peringatan yang telah diberikan oleh SSM ialah, tolong periksa lesen "Setiausaha Syarikat" anda, kerana perangkaan oleh pihak SSM menunjukkan rata-rata lesen mereka ini telah mati dan tidak diiktiraf lagi....!!!! apatah lagi pihak SSM sekarang ini sedang berura-ura untuk mewajibkan sebuah syarikat untuk mempunyai Setiusaha syarikat.

ARTIKEL 2 : Peranan Setiausaha Syarikat

Artikel : Bernama.com
MAICSA Pandang Berat CCM Denda Setiausaha Syarikat
KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Institut Setiausaha dan Pentadbir Berkanun Malaysia (MAICSA) memandang berat tindakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (CCM) terhadap setiausaha syarikat.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, MAICSA berkata CCM telah mengenakan kompaun ke atas setiausaha syarikat secara peribadi dengan jumlah denda yang besar kerana gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) dan mengemukakan penyata tahunan selaras dengan Akta Syarikat 1965.

"Ahli-ahli kami dikenakan denda semata-mata kerana CCM mentafsirkan kata-kata 'pegawai yang mungkir' secara umum dan mudah dalam menguatkuasakan pematuhan ke atas syarikat dalam soal mengadakan AGM.

"CCM tidak harus menggunakan kuasa budi bicaranya apabila mengenakan kompaun ke atas setiausaha syarikat bagi kesalahan berkanun, yang di luar bidang kuasa dan kawalan mereka," katanya. MAICSA berkata sungguhpun setiausaha syarikat termasuk dalam kumpulan yang ditakrifkan sebagai 'pegawai', mereka hanya memberikan khidmat nasihat kepada lembaga pengarah.

"Kedudukan setiausaha syarikat berhubung pemanggilan mesyuarat agung dan AGM syarikat sentiasa tertakluk kepada arahan yang diberikan oleh pengerusi atau lembaga pengarah. "Tanpa AGM diadakan, setiausaha syarikat tidak dapat mengemukakan penyata tahunan seperti yang disyaratkan di bawah Akta itu," katanya.

Sementara itu, presiden MAICSA, Akbar Moidunny, berkata beliau telah memberikan penjelasan dan menyuarakan masalah ahli-ahlinya berhubung isu kompaun itu semasa Dialog CCM Malaysia Timur 2007 pada November. Beliau berkata CCM telah bersetuju untuk mengkaji semula perkara ini dan ahli-ahli yang merasakan mereka telah didenda secara tidak sewajarnya haruslah menghubungi pegawai-pegawai CCM dan mengemukakan bukti bertulis mengenai tahap pelaksanaan kewajipan sebagai setiausaha bagi syarikat yang dikenakan kompaun, katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...