Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ingin
memaklumkan sehingga 29 Februari 2012, sebanyak 32,789 syarikat telah
dikenalpasti masih gagal menyerahsimpan penyata tahunan dan penyata kewangan
beraudit dalam tempoh yang ditetapkan bagi tahun 2011 berdasarkan kepada rekod
serahsimpan dokumen-dokumen yang sama bagi syarikat-syarikat tersebut untuk dua
(2) tahun terakhir.
Menurut seksyen 165 Akta Syarikat 1965, setiap
syarikat dan pegawai-pegawai syarikat iaitu pengarah dan setiausaha syarikat
perlu memastikan penyata tahunan dan penyata kewangan beraudit syarikat
diserahsimpan di SSM pada setiap tahun dalam tempoh 30 hari selepas tarikh
mesyuarat agung tahunan diadakan melainkan syarikat telah memohon lanjutan masa
dan telah diluluskan oleh Pendaftar Syarikat untuk mengadakan mesyuarat agung
tahunan dan membentangkan Penyata Kewangan beraudit melepasi tahun kalendar
yang berkaitan.
Sehubungan itu, SSM memberi peringatan kepada
mana-mana syarikat yang masih gagal mematuhi kehendak undang-undang tersebut
untuk mematuhi keperluan serahsimpan penyata tahunan dan penyata kewangan
tersebut dengan pihak SSM.
Bagi mana-mana syarikat yang tidak aktif atau
beroperasi, pengarah atau pemegang saham syarikat dinasihatkan mengambil
tindakan menggulungkan syarikat secara sukarela di bawah seksyen 254 AS’65 atau
membuat permohonan pembatalan nama syarikat kepada Pendaftar Syarikat di bawah
seksyen 308 Akta yang sama bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil atas
kegagalan menyerahsimpan penyata tahunan dan penyata kewangan beraudit di masa
akan datang.
Pengarah-pengarah syarikat juga dinasihatkan
menghubungi setiausaha syarikat bagi tujuan pematuhan terhadap arahan ini atau
hubungi SSM untuk semakan status serahsimpan penyata tahunan dan penyata
kewangan beraudit syarikat di talian 03-2299 5334 (Ibupejabat) atau email
ke ar_compliance@ssm.com.my
atau hubungi mana-mana pejabat SSM yang berhampiran.
DIKELUARKAN OLEH
: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
TARIKH : 9 APRIL
2012