TAGLINE

TAGLINE

Friday, August 21, 2009

PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB : Pengarah & Setiausaha Syarikat

-->
Syarat-syarat Untuk Pengarah & Setiausaha Syarikat
Sesebuah syarikat memerlukan sekurang-kurangnya dua (2) orang pengarah dan seorang setiausaha. Pengarah Setiap syarikat berhad mesti mempunyai sekurang-kurangnya dua orang pengarah yang menetap di Malaysia. Seorang pengarah syarikat juga boleh bertindak sebagai setiausaha syarikat kecuali dalam situasi-situasi tertentu.

Setiausaha setiap syarikat berhad mesti mempunyai sekurang-kurangnya seorang setiausaha. Lembaga pengarah boleh melantik salah seorang daripada pengarah syarikat sebagai setiausaha syarikat. Individu tersebut mestilah terdiri dari ahli badan profesional yang telah ditetapkan oleh Menteri atau yang telah dilesenkan oleh SSM. Permohonan untuk lesen syarikat harus dibuat melalui SSM dengan menggunakan Borang 48B/ 48C. Setiap lesen yang diberi atau diperbaharui sah selama 3 tahun.

Seksyen Intermediari Korporat (SSM)

Seksyen dibawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ini memproses permohonan dan pembaharuan lesen setiausaha dan menjalankan kerja-kerja pemantauan serta penyimpanan dan penambahbaikan pengkalan data setiausaha syarikat.

Unit Pelesenan Setiausaha

Menjalankan tanggungjawab berikut:

  • Menemuduga permohonan baru.
  • Mengeluarkan lesen setiausaha syarikat.
  • Mengeluarkan lesen pembaharuan setiausaha syarikat.
Unit Pemantauan Setiausaha
  • Memastikan pematuhan setiausaha syarikat di bawah peruntukan Akta Syarikat.
  • Menjalankan penguatkuasaan di bawah seksyen 139A, 139C(3) dan 364(2) terhadap setiausaha berlesen dan setiausaha dari badan professional yang diiktiraf.
  • Menjalankan penguatkuasaan terhadap pengarah-pengarah syarikat khusus di bawah seksyen 139C(3) yang membenarkan setiausaha syarikat bertindak secara berterusan selepas hilang kelayakan.
  • Memastikan pematuhan syarikat di bawah seksyen 139(1B) iaitu syarikat beroperasi tanpa setiausaha melebihi tempoh satu bulan.
  • Menjalankan pemantauan terhadap pengendalian kursus sijil kesetiausahaan syarikat yang dikendalikan oleh sembilan (9) institusi yang diluluskan oleh Pendaftar Syarikat.

Badan-Badan Profesional

Ahli-ahli dari badan professional yang diiktiraf boleh bertindak sebagai setiausaha syarikat tanpa perlu mendapatkan lesen di bawah Seksyen 139A(b) Akta Syarikat 1965 daripada Pendaftar Syarikat. Sehingga tahun 2007 terdapat tujuh (7) badan professional yang telah diiktiraf oleh YB. Menteri bagi tujuan seksyen 139A Akta Syarikat 1965.

Senarai Badan-Badan Profesional:-
  • Institut Akauntan Malaysia (MIA);
  • Persatuan Institut Setiausaha dan Pentadbir Berkanun Malaysia (MAICSA);
  • Persatuan Institut Akauntan Awam Bertauliah (MICPA);
  • Majlis Peguam Malaysia;
  • Persatuan Peguambela Sarawak;
  • Persatuan Undang-Undang Sabah; dan
  • Persatuan Setiausaha Syarikat Malaysia (MACS).

KOD ETIKA SETIAUSAHA SYARIKAT

Dalam menjalankan tanggungjawabnya, seseorang setiausaha syarikat hendaklah sentiasa mematuhi kod-kod berikut:
  • Berusaha bersungguh-sungguh ke arah profesionalisme yang kompeten dan pada setiap masa mempamerkan kemahiran yang tinggi dalam melaksanakan tugas dan kewajipan jawatannya;
  • Sesungguhnya, pada setiap masa melaksanakan kuasanya dengan suci hati, bertindak dengan penuh tanggungjawab, jujur serta berhati-hati dan penuh ketekunan di dalam menunaikan kewajipan jawatannya;
  • Pada setiap masa berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk membantu syarikatnya ke arah matlamat yang ditetapkan berdasarkan kepada kerukunan moral, kecekapan dan pentadbiran yang berkesan;
  • Mempunyai kefahaman yang jelas tentang matlamat dan tujuan syarikat serta kuasa dan sekatannya seperti yang diperuntukkan di dalam Memorandum dan Perkara-Perkara Persatuan syarikatnya;
  • Mempunyai pengetahuan mengenai peraturan-peraturan dan kaedah¬kaedah mesyuarat, khususnya kehendak-kehendak mengenai korum, pengundian dan peruntukan-peruntukan berkaitan proksi dan bertanggungjawab untuk mentadbir mesyuarat dengan teratur;
  • Tidak mengalih untuk manfaatnya sendiri apa-apa peluang perniagaan yang sedang diusahakan oleh syarikatnya dan juga tidak menggunakan atau mendedahkan kepada pihak-pihak lain segala maklumat sulit yang diperolehi melalui jawatannya untuk manfaat sendiri atau orang lain;
  • Mengamalkan sikap yang objektif dan positif serta memberi kerjasama sepenuhnya demi kebaikan bersama apabila berurusan dengan pihak berkuasa kerajaan atau badan-badan yang mengawal selia;
  • Memberitahu ahli lembaga pengarah atau pegawai awam yang sewajarnya apa-apa maklumat diketahuinya, yang dia dengan jujur mempercayai bahawa sesuatu penipuan sedang atau akan dilakukan oleh syarikatnya atau oleh mana-mana pengarah atau kakitangan syarikatnya;
  • Menghadkan dirinya menjadi setiausaha syarikat kepada suatu bilangan yang mana dia mampu menumpukan masa dan keberkesanannya dengan sebaiknya;
  • Membantu dan menasihati pengarah-pengarah bagi memastikan bahawa pada setiap masa syarikatnya menyenggara suatu sistem kawalan dalaman yang berkesan bagi menyimpan daftar-daftar dan rekod-rekod perakaunan yang sepatutnya;
  • Sentiasa bersikap saksama dalam hubungannya dengan pemegang saham, pengarah dan tanpa berat sebelah berusaha sedaya upaya untuk memastikan pengarah dan syarikatnya mematuhi perundangan yang berkaitan, tanggungjawab-tanggungjawab kontrak dan kehendak- kehendak lain yang berkaitan;
  • Menghadirkan diri atau semasa ketiadaannya memastikan ia diwakili di pejabat berdaftar syarikatnya pada hari dan waktu yang pejabatnya berurusan dengan orang ramai;
  • Menasihati lembaga pengarah syarikatnya supaya tidak menerima pakai polisi yang bertentangan dengan kepentingan 'stakeholder' syarikat;
  • Menyedari akan laporan-laporan dan kehendak-kehendak lain statut yang di bawahnya syarikat diperbadankan; dan
  • Hadir atau diwakili dalam mesyuarat syarikat dan tidak membenarkan dirinya atau wakilnya dikecualikan atau diketepikan dari mesyuarat berkenaan yang mana boleh menjejaskan tanggungjawab profesionalnya sebagai setiausaha kepada syarikat.

KOD ETIKA PENGARAH SYARIKAT
Dalam melaksanakan kewajipannya, seorang pengarah hendaklah pada setiap masa mematuhi kod yang berikut:

A. Pentadbiran Korporat
  • Hendaklah mempunyai kefahaman yang jelas tentang matlamat dan tujuan, keupayaan dan kapasiti syarikat;
  • Hendaklah menumpukan masa dan usaha untuk menghadiri mesyuarat dan untuk mengetahui apa yang dikehendaki daripada lembaga dan setiap pengarahnya, dan untuk menunaikan fungsi-fungsi itu;
  • Hendaklah memastikan pada setiap masa bahawa syarikat diuruskan dengan sepatutnya dan dikawal dengan berkesan;
  • Hendaklah mengikut perkembangan hal ehwal syarikat dan dimaklumkan tentang pematuhan syarikat akan perundangan yang relevan dan kehendak kontrak;
  • Hendaklah bertegas supaya dimaklumkan tentang segala yang penting kepada syarikat supaya pengurusan korporat menjadi berkesan;
  • Hendaklah menghadkan dirinya menjadi pengarah syarikat kepada suatu bilangan yang dia boleh menumpukan dengan sebaiknya, masanya dan keberkesanannya; setiap pengarah menjadi hakimnya sendiri tentang keupayaannya dan bagaimana sebaiknya menguruskan masanya secara berkesan dalam syarikat yang dalamnya dia menjadi pengarah;
  • Hendaklah mempunyai akses kepada nasihat dan perkhidmatan setiausaha syarikat yang bertanggungjawab kepada lembaga untuk memastikan prosedur, kaedah dan peraturan yang sepatutnya dipatuhi;
  • Hendaklah pada setiap masa melaksanakan kuasanya bagi maksud yang ia diberikan demi faedah dan kejayaan syarikat;
  • Hendaklah menzahirkan dengan serta merta segala kepentingan kontrak sama ada secara langsung atau secara tidak langsung dengan syarikat;
  • Hendaklah tidak mengalihkan untuk manfaatnya sendiri apa-apa peluang perniagaan yang sedang diusahakan oleh syarikat, atau boleh digunakan olehnya maklumat sulit yang diperolehi oleh sebab jawatannya untuk manfaatnya sendiri atau orang lain,
  • Hendaklah pada setiap masa bertindak dengan suci hati sesungguhnya kepada syarikat dalam apa-apa transaksi dan bertindak dengan jujur dan bertanggungjawab pada melaksanakan kuasanya dalam menunaikan kewajipannya; dan
  • Hendaklah sedia memberi keputusan yang bebas dan jika perlu, secara terang menentang jika kepentingan syarikat menghadapi risiko.
B. Hubungan Dengan Pemegang Syer, Pekerja, Pemiutang dan Pelanggan
  • Hendaklah peka dengan kepentingan pemegang syer, pekerja, pemiutang dan pelanggan syarikat;
  • Hendaklah pada bila-bila masa menggalakkan profesionalisme dan meningkatkan kecekapan pengurusan dan pekerja; dan
  • Hendaklah memastikan langkah-langkah keselamatan yang mencukupi dan menyediakan perlindungan sepatutnya kepada pekerja di tempat kerja.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...