TAGLINE

TAGLINE

Tuesday, December 27, 2016

PEMUDA DISABITKAN KESALAHAN MEMBERI MAKLUMAT PALSU MELALUI PERKHIDMATAN E-LODGEMENT SSM


Khamis, 1 Disember 2016: Seorang pemuda berusia 33 tahun, Ng Chee Wah ("OKS"), telah disabitkan dengan kesalahan di bawah seksyen 12(1)(d) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 ("APP 1956") kerana telah memberi makluman palsu kepada Pendaftar berkait dengan pendaftaran perniagaan Hitamichi Marketing (002178199-X).

Berdasarkan kertas pertuduhan, OKS telah memberi maklumat palsu berhubung pendaftaran pemilik perniagaan tersebut melalui Borang A iaitu Borang Pendaftaran Perniagaan yang mana transaksi pendaftaran telah dibuat menggunakan perkhidmatan atas talian e-lodgement SSM.


OKS telah dituduh di hadapan Majistret Zuhair bin Rosli di Mahkamah Majistret Jenayah 8, Kuala Lumpur dan OKS telah membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.


Kesalahan di bawah seksyen 12(1)(d) APP 1956 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000.00 atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Ketika mitigasi, OKS yang diwakili oleh peguamnya, Chuah Shyue Chien, telah memohon hukuman yang ringan dengan alasan kesalahan ini merupakan kesalahan pertama OKS dan dia tidak mendapat apa-apa manfaat daripada tindakannya itu serta telah datang sejauh dari Johor Bahru untuk mendengar pertuduhan kes tersebut. Mahkamah telah mensabitkan OKS dengan kesalahan tersebut dan menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000.00 jika gagal bayar 2 bulan penjara. OKS akan membayar denda tersebut.


SSM memandang berat kesalahan yang serius ini kerana ia menjejaskan kredibiliti dan integriti maklumat yang disimpan oleh SSM. Oleh itu, sabitan ini merupakan peringatan kepada orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil sekiranya berlaku kesalahan di bawah peruntukkan undang-undang yang dikawalselia oleh SSM. 


Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kanan SSM, Mohd Fairuz bin Othman dan Lidia Fyrulliza binti Ishak.


SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA

01 DISEMBER 2016



Tuesday, November 1, 2016

RAYUAN SYARIKAT DAN PENGARAH DITOLAK, SABITAN DIKEKALKAN DAN DENDA DITINGKATKAN BAGI KESALAHAN MENAWARKAN SKIM PELABURAN TERNAKAN LINTAH KEPADA ORANG RAMAI



Isnin, 19hb September 2016 - Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak rayuan Syarikat Hidayyah Management & Services Sdn Bhd dan pengarah urusannya, Abdul Rahim Bin Mohd Amin, untuk mengenepikan sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atasnya dan Syarikat tersebut yang dibuat oleh Mahkamah Seksyen Shah Alam bagi kesalahan di bawah seksyen 91(1) dan 363(3) Akta Syarikat 1965.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Dato' Zulkifli Bakar yang mendengar rayuan tersebut turut membenarkan rayuan balas Pendakwaan  ke atas hukuman yang dikenakan ke atas Abdul Rahim dengan meningkatkan denda daripada RM25,000.00 kepada RM50,000.00, jika gagal bayar akan dikenakan 10 tahun penjara. Bagi Syarikat pula, denda telah ditingkatkan daripada RM50,000.00 kepada RM100,000.00. Abdul Rahim telah membayar denda tersebut.

Kedua-dua pertuduhan di bawah seksyen 91(1) dan 363(3) Akta Syarikat 1965 adalah berkaitan dengan penawaran satu skim pelaburan oleh Syarikat Al Hidayyah kepada orang ramai yang dikenali sebagai 'Skim Pulangan Balik Ternakan Lintah' yang mana skim tersebut tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Skim tersebut dipercayai telah mengutip sejumlah wang daripada orang ramai di antara 1 Jun 2008 - 31 Disember 2009 walaupun suratcara ikatan amanahnya (trust deed) tidak pernah didaftarkan di SSM.


Kesalahan di bawah seksyen 91(1) Akta Syarikat 1965 memperuntukkan hukuman maksimum 5 tahun penjara atau denda sebanyak RM100,000.00 atau kedua-duanya sekali. Manakala, kesalahan di bawah seksyen 363(3) memperuntukkan hukuman maksimum 10 tahun penjara atau denda sebanyak RM250,000.00.

SSM telah diwakili oleh Timbalan Pendakwaraya, Ku Hayati Ku Haron manakala kedua-dua tertuduh diwakili oleh peguam Abdul Halem Mohd Som pada prosiding rayuan tersebut.

Keputusan Mahkamah menolak rayuan dan meningkatkan hukuman denda kepada kedua-dua tertuduh dalam kes ini mencerminkan Mahkamah memandang berat kesalahan yang melibatkan Syarikat-Syarikat yang menawarkan skim kepentingan yang tidak berdaftar dengan pihak berkuasa kepada orang ramai kerana ia boleh memudaratkan kepentingan awam. Oleh itu, SSM mengesa Syarikat yang ingin membuat penawaran skim kepentingan kepada orang ramai supaya memastikan mereka mematuhi semua peruntukan undang-undang berkaitan penawaran skim kepentingan yang termaktub dalam Akta Syarikat 1965 terlebih dahulu.

SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA

20hb September 2016

Tuesday, January 19, 2016

Hutang Syarikat


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Tuan, saya XXX ingin bertanya kepada tuan mengenai hutang syarikat. Ceritanya begini. Saya adalah salah seorang pemegang saham sebuah syarikat sendirian berhad milik kawan saya. Saya hanya memegang saham hanya 1% (Sleeping Partner) dan 99% milik kawan saya. Segala operasi syarikat telah diuruskan sepenuhnya oleh kawan saya. Cukup sekadar kawan saya menggunakan nama saya dalam syarikat. Situasinya syarikat telah membuat satu pinjaman XXX bank dan syarikat gagal untuk membuat bayaran balik pinjaman tersebut sehingga surat saman dari pihak bank tersebut telah dikeluarkan. Dalam perjanjian pinjaman tersebut, saya sebagai penjamin kedua bagi pinjaman tersebut kerana pada surat perjanjian pinjaman tersebut perlu kepada pemegang saham menjadi penjamin. Saya hendak bertanya kepada tuan :
1. Apakah yang harus saya lakukan..??
2. Adakah saya kena bayar hutang syarikat itu sama nilai dengan kawan saya..??
3. Adakah akaun peribadi akan dibekukan sekiranya gagal membayar hutang tersebut..??
Mohon penjelasan daripada pihak tuan untuk permasalahan tersebut.

JAWAPAN
Waalaikummussalam Tuan,
Berdasarkan kepada undang-undang, liabiliti bagi Syarikat Sendirian Berhad adalah terhad kepada kemampuan Syarikat sahaja. Akan tetapi, Tuan secara sukarela telah menjadi penjamin kepada pinjaman Bank Syarikat ini. Oleh itu, adalah menjadi tanggunggjawab Tuan untuk membayar hutang tersebut mengikut kadar yang telah ditetapkan oleh pihak Bank. Adalah dinasihatkan pihak Tuan merujuk perkara tersebut kepada bank berkenaan bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat.
Selain itu, untuk makluman Tuan juga, sekiranya terdapat mana-mana peruntukan dalam artikel Syarikat mengecualikan Pengarah untuk menanggung rugi atau terhadap apa-apa liabiliti adalah tidak sah. Pengarah boleh menebus kembali liabiliti yang ditanggung jika penghakiman itu memihak kepada beliau.
Mahkamah mempunyai kuasa untuk melepaskan Pengarah berkaitan dari liabiliti yang ditanggung tanpa apa-apa prosiding bagi kecuaian, keingkaran, kemungkiran kewajipan atau pecah amanah jika pengarah bertindak jujur dan munasabah.
Sila rujuk pihak Setiausaha Syarikat Tuan, pihak SSM dan Peguam bagi mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci.
Diharap penjelasan ini sedikit sebanyak dapat membantu Tuan.

Sekian, terima kasih. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...