TAGLINE

TAGLINE

Tuesday, November 1, 2016

RAYUAN SYARIKAT DAN PENGARAH DITOLAK, SABITAN DIKEKALKAN DAN DENDA DITINGKATKAN BAGI KESALAHAN MENAWARKAN SKIM PELABURAN TERNAKAN LINTAH KEPADA ORANG RAMAI



Isnin, 19hb September 2016 - Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak rayuan Syarikat Hidayyah Management & Services Sdn Bhd dan pengarah urusannya, Abdul Rahim Bin Mohd Amin, untuk mengenepikan sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atasnya dan Syarikat tersebut yang dibuat oleh Mahkamah Seksyen Shah Alam bagi kesalahan di bawah seksyen 91(1) dan 363(3) Akta Syarikat 1965.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Dato' Zulkifli Bakar yang mendengar rayuan tersebut turut membenarkan rayuan balas Pendakwaan  ke atas hukuman yang dikenakan ke atas Abdul Rahim dengan meningkatkan denda daripada RM25,000.00 kepada RM50,000.00, jika gagal bayar akan dikenakan 10 tahun penjara. Bagi Syarikat pula, denda telah ditingkatkan daripada RM50,000.00 kepada RM100,000.00. Abdul Rahim telah membayar denda tersebut.

Kedua-dua pertuduhan di bawah seksyen 91(1) dan 363(3) Akta Syarikat 1965 adalah berkaitan dengan penawaran satu skim pelaburan oleh Syarikat Al Hidayyah kepada orang ramai yang dikenali sebagai 'Skim Pulangan Balik Ternakan Lintah' yang mana skim tersebut tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Skim tersebut dipercayai telah mengutip sejumlah wang daripada orang ramai di antara 1 Jun 2008 - 31 Disember 2009 walaupun suratcara ikatan amanahnya (trust deed) tidak pernah didaftarkan di SSM.


Kesalahan di bawah seksyen 91(1) Akta Syarikat 1965 memperuntukkan hukuman maksimum 5 tahun penjara atau denda sebanyak RM100,000.00 atau kedua-duanya sekali. Manakala, kesalahan di bawah seksyen 363(3) memperuntukkan hukuman maksimum 10 tahun penjara atau denda sebanyak RM250,000.00.

SSM telah diwakili oleh Timbalan Pendakwaraya, Ku Hayati Ku Haron manakala kedua-dua tertuduh diwakili oleh peguam Abdul Halem Mohd Som pada prosiding rayuan tersebut.

Keputusan Mahkamah menolak rayuan dan meningkatkan hukuman denda kepada kedua-dua tertuduh dalam kes ini mencerminkan Mahkamah memandang berat kesalahan yang melibatkan Syarikat-Syarikat yang menawarkan skim kepentingan yang tidak berdaftar dengan pihak berkuasa kepada orang ramai kerana ia boleh memudaratkan kepentingan awam. Oleh itu, SSM mengesa Syarikat yang ingin membuat penawaran skim kepentingan kepada orang ramai supaya memastikan mereka mematuhi semua peruntukan undang-undang berkaitan penawaran skim kepentingan yang termaktub dalam Akta Syarikat 1965 terlebih dahulu.

SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA

20hb September 2016

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...