TAGLINE

TAGLINE

Friday, August 21, 2009

ARTIKEL 2 : Peranan Setiausaha Syarikat

Artikel : Bernama.com
MAICSA Pandang Berat CCM Denda Setiausaha Syarikat
KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Institut Setiausaha dan Pentadbir Berkanun Malaysia (MAICSA) memandang berat tindakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (CCM) terhadap setiausaha syarikat.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, MAICSA berkata CCM telah mengenakan kompaun ke atas setiausaha syarikat secara peribadi dengan jumlah denda yang besar kerana gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) dan mengemukakan penyata tahunan selaras dengan Akta Syarikat 1965.

"Ahli-ahli kami dikenakan denda semata-mata kerana CCM mentafsirkan kata-kata 'pegawai yang mungkir' secara umum dan mudah dalam menguatkuasakan pematuhan ke atas syarikat dalam soal mengadakan AGM.

"CCM tidak harus menggunakan kuasa budi bicaranya apabila mengenakan kompaun ke atas setiausaha syarikat bagi kesalahan berkanun, yang di luar bidang kuasa dan kawalan mereka," katanya. MAICSA berkata sungguhpun setiausaha syarikat termasuk dalam kumpulan yang ditakrifkan sebagai 'pegawai', mereka hanya memberikan khidmat nasihat kepada lembaga pengarah.

"Kedudukan setiausaha syarikat berhubung pemanggilan mesyuarat agung dan AGM syarikat sentiasa tertakluk kepada arahan yang diberikan oleh pengerusi atau lembaga pengarah. "Tanpa AGM diadakan, setiausaha syarikat tidak dapat mengemukakan penyata tahunan seperti yang disyaratkan di bawah Akta itu," katanya.

Sementara itu, presiden MAICSA, Akbar Moidunny, berkata beliau telah memberikan penjelasan dan menyuarakan masalah ahli-ahlinya berhubung isu kompaun itu semasa Dialog CCM Malaysia Timur 2007 pada November. Beliau berkata CCM telah bersetuju untuk mengkaji semula perkara ini dan ahli-ahli yang merasakan mereka telah didenda secara tidak sewajarnya haruslah menghubungi pegawai-pegawai CCM dan mengemukakan bukti bertulis mengenai tahap pelaksanaan kewajipan sebagai setiausaha bagi syarikat yang dikenakan kompaun, katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...