TAGLINE

TAGLINE

Wednesday, November 28, 2012

Kenyataan Akhbar Berhubung Keperluan Menyerah Simpan Penyata Tahunan Dan Penyata Kewangan Beraudit Bagi Tahun 2011 Dengan Pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia


Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ingin memaklumkan sehingga 29 Februari 2012, sebanyak 32,789 syarikat telah dikenalpasti masih gagal menyerahsimpan penyata tahunan dan penyata kewangan beraudit dalam tempoh yang ditetapkan bagi tahun 2011 berdasarkan kepada rekod serahsimpan dokumen-dokumen yang sama bagi syarikat-syarikat tersebut untuk dua (2) tahun terakhir.

Menurut seksyen 165 Akta Syarikat 1965, setiap syarikat dan pegawai-pegawai syarikat iaitu pengarah dan setiausaha syarikat perlu memastikan penyata tahunan dan penyata kewangan beraudit syarikat diserahsimpan di SSM pada setiap tahun dalam tempoh 30 hari selepas tarikh mesyuarat agung tahunan diadakan melainkan syarikat telah memohon lanjutan masa dan telah diluluskan oleh Pendaftar Syarikat untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan dan membentangkan Penyata Kewangan beraudit melepasi tahun kalendar yang berkaitan.

Sehubungan itu, SSM memberi peringatan kepada mana-mana syarikat yang masih gagal mematuhi kehendak undang-undang tersebut untuk mematuhi keperluan serahsimpan penyata tahunan dan penyata kewangan tersebut dengan pihak SSM.

Bagi mana-mana syarikat yang tidak aktif atau beroperasi, pengarah atau pemegang saham syarikat dinasihatkan mengambil tindakan menggulungkan syarikat secara sukarela di bawah seksyen 254 AS’65 atau membuat permohonan pembatalan nama syarikat kepada Pendaftar Syarikat di bawah seksyen 308 Akta yang sama bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil atas kegagalan menyerahsimpan penyata tahunan dan penyata kewangan beraudit di masa akan datang.

Pengarah-pengarah syarikat juga dinasihatkan menghubungi setiausaha syarikat bagi tujuan pematuhan terhadap arahan ini atau hubungi SSM untuk semakan status serahsimpan penyata tahunan dan penyata kewangan beraudit syarikat di talian 03-2299 5334 (Ibupejabat) atau  email ke ar_compliance@ssm.com.my atau hubungi mana-mana pejabat SSM yang berhampiran.

DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
TARIKH : 9 APRIL 2012
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...