TAGLINE

TAGLINE

Friday, December 23, 2011

SSM Perkenal Konsep Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT )

SURUHANJAYA Syarikat Malaysia (SSM) memperkenalkan wadah perniagaan baru dikenali sebagai Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) sebagai alternatif kepada usahawan untuk menjalankan perniagaan.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menerusi PLT yang diluluskan Dewan Negara kelmarin, orang ramai akan mendapat lebih banyak pilihan untuk menjalankan perniagaan dan tidak hanya tertumpu kepada bentuk perniagaan tradisional seperti penubuhan syarikat, milikan tunggal, perkongsian atau firma perkongsian.

Menurutnya, PLT menggabungkan kriteria syarikat dan firma perniagaan yang memberikan perlindungan terhadap liabiliti terhad kepada ahli serta urusan dalaman yang lebih fleksibel. “Usaha yang dilaksanakan ini menjadikan negara lebih berdaya saing dalam menghadapi era globalisasi yang sejajar dengan kehendak kerajaan ke arah memendekkan prosedur, mengurangkan kos pentadbiran dan permintaan pematuhan untuk memudahkan urusan perniagaan golongan komuniti perniagaan.

“Konsep PLT ini akan menyokong perniagaan baru, kecil dan sederhana (IKS) dan golongan profesional mengembangkan perniagaan tanpa perlu bimbang terhadap liabiliti dan aset peribadi serta permintaan pematuhan,” katanya pada majlis Hari Inovasi Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, di Putrajaya, semalam. Ismail Sabri berkata, pengenalan PLT bertujuan melengkapi pilihan tradisi bentuk perniagaan sedia ada dan perlu dianggap sebagai memberikan golongan peniaga serta pelabur kelonggaran serta kebebasan untuk memilih model perniagaan yang terbaik menepati keperluan berdasarkan kriteria komersial.

Beliau berkata, PLT diperkenalkan di pelbagai negara seperti United Kingdom (UK), Singapura, Amerika Syarikat dan Jepun.


DIKELUARKAN OLEH : myMetro
TARIKH : 23 DISEMBER 2011



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...