TAGLINE

TAGLINE

Tuesday, March 11, 2014

PEMBIAYAAN DAN KEUSAHAWANAN


Dalam apa jua perniagaan, modal merupakan perkara asas yang perlu ada sama ada dijana oleh aset yang dimiliki sendiri atau melalui pembiayaan daripada institusi kewangan tempatan. Di pasaran, terdapat pelbagai produk pembiayaan yang ditawarkan khas untuk perniagaan khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk juga industri francais untuk dipilih.

Namun, usahawan perlu bijak membuat keputusan pembiayaan yang bersesuaian dengan perniagaan mereka dan membuat persediaan awal dengan menyelidik prosedur serta terma-terma setiap produk.

Sebagai contoh, kerajaan telah menubuhkan skim-skim pembiayaan khas untuk industri francais dengan pelbagai insentif serta kemudahan yang menarik dalam usaha meningkatkan penglibatan usahawan terutama bumiputera dalam industri berkenaan. Setiap permohonan pembiayaan perlulah disokong oleh kertas kerja perniagaan francais yang lengkap bagi membuktikan kesungguhan usahawan berkenaan dan juga untuk meyakinkan institusi kewangan berkenaan.

Kertas kerja yang lengkap mestilah menerangkan secara keseluruhan perniagaan yang dijalankan dengan jelas dan ringkas serta mudah difahami oleh institusi kewangan. Banyak contoh-contoh kertas kerja yang terdapat di pasaran yang boleh dijadikan rujukan oleh usahawan ketika ini.

Kertas kerja perlu diolah dengan baik, berstruktur dan seharusnya memaparkan informasi perniagaan yang memang ingin diketahui oleh institusi kewangan. Dokumentasi kertas kerja ini sangat penting untuk sesebuah perniagaan bukan sahaja untuk memperoleh pembiayaan, malah untuk dijadikan rujukan oleh pengurusan syarikat dan pekerja serta bakal pelabur.

Bahan-bahan ini dapat membantu usahawan untuk berfikir, mengkaji dan mendokumenkan idea secara sistematik sebelum memulakan sesebuah perniagaan bagi mengetahui perniagaan tersebut berdaya maju atau tidak.

Selain itu, melalui kertas kerja, usahawan dapat mengenal pasti persekitaran perniagaan, pelanggan, pesaing, jumlah kos keseluruhan dan risiko perniagaan. Aspek ini sangat penting untuk dinilai oleh institusi kewangan.

Oleh itu, bagi menyediakan kertas kerja yang lengkap, usahawan harus memastikan elemen seperti model perniagaan, produk atau perkhidmatan, wawasan, matlamat, kedudukan semasa syarikat dari segi kewangan serta pasaran, keperluan pembiayaan dan tujuan pembiayaan berkenaan diperlukan.

Mengikut standard semasa, antara kriteria yang akan dinilai oleh institusi kewangan adalah potensi perniagaan dan risiko yang boleh diterima.

Penulis adalah Pengerusi MFA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140311/ek_02/Pembiayaan-dan-keusahawanan#ixzz2vhrKMksM
© Utusan Melayu (M) Bhd
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...