TAGLINE

TAGLINE

Tuesday, March 30, 2010

ARTIKEL 3 : Siaran Akhbar Tarikh [17 DISEMBER 2009]

TINDAKAN PEMANTAUAN TERHADAP SETIAUSAHA SYARIKAT YANG HILANG KELAYAKAN DI BAWAH SEKSYEN 139C AKTA SYARIKAT 1965

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menjalankan pemantauan terhadap aktiviti setiausaha syarikat bagi memastikan etika kesetiausahaan sentiasa dititikberatkan. Di dalam Akta Syarikat 1965 (AS) jelas memperuntukkan bahawa sesebuah syarikat itu hendaklah dikendalikan oleh individu yang sesuai dan layak sahaja.

Setiausaha syarikat perlu memastikan bahawa beliau bukan seorang yang telah hilang kelayakan di bawah Seksyen 139C(1) AS 1965. Di bawah seksyen ini, seseorang dikatakan telah hilang kelayakan sebagai setiausaha syarikat apabila beliau adalah seorang bankrap yang belum dilepaskan atau telah disabitkan kesalahan oleh mana-mana mahkamah samada di dalam atau di luar Malaysia seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 130(1) AS 1965 iaitu:
(a) dengan apa-apa kesalahan berhubung dengan penganjuran pembentukan atau pengurusan perbadanan; 
(b) dengan apa-apa kesalahan melibatkan fraud atau tidak jujur dihukum di atas sabit kesalahan dengan penjara untuk tiga bulan atau lebih; atau 
 (c) apa-apa kesalahan di bawah seksyen 132, 132A atau 303

Selain itu, seseorang individu tidak boleh tertindak sebagai setiausaha syarikat melainkan beliau merupakan ahli badan-badan yang diiktiraf di bawah Seksyen 139A(a) AS 1965 atau memiliki lesen kesetiausahaan yang diiktiraf oleh SSM di bawah seksyen 139B AS 1965.

Setiausaha syarikat perlu membuat perakuan berkanun seperti yang telah diperuntukkan di bawah Seksyen 139(6) AS 1965 bagi mengesahkan bahawa perlantikan beliau tidak bercanggah dengan peruntukkan di bawah seksyen 139A dan Seksyen 139C AS 1965. Setiausaha syarikat juga perlu menyatakan nombor lesen atau nombor ahli badan profesional yang dianggotai oleh beliau dalam setiap dokumen berkanun syarikat yang ditandatangani oleh beliau. Syarat ini jelas dinyatakan dalam Peraturan 18(3), Peraturan Syarikat 1966.

Namun, terdapat segelintir setiausaha syarikat yang masih gagal mematuhi kehendak peruntukan-peruntukan yang dinyatakan di atas dengan terus menerus bertindak sebagai setiausaha syarikat walaupun telah hilang kelayakan untuk berbuat demikian.

SSM telah mengambil tindakan penguatkuasaan pro-aktif seperti membatalkan lesen kesetiausahaan, menyenarai hitam nama dari daftar, mengenakan kompaun dan juga tindakan pendakwaan ke atas individu-individu yang telah melanggar peruntukan-peruntukan AS yang berkenaan. Antara tindakan-tindakan penguatkuasaan yang telah dijalankan oleh SSM sepanjang tahun 2009 adalah seperti berikut :

(1) Membatalkan lesen kesetiausahaan Roslina binti Ahmad, LS0005922 pada 13 Ogos 2009 kerana telah disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 364A(1)(a) AS 1965 oleh Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur di dalam kapasitinya sebagai setiausaha syarikat Darul Ehsan Food Supply Sdn Bhd. Beliau juga dilantik sebagai setiausaha kepada 267 buah syarikat dan merupakan pengarah kepada 4 buah syarikat.

(2) Membatalkan lesen kesetiausahaan Rosman bin Hamzah, LS0001956 pada 15 September 2009 kerana terus menerus bertindak sebagai setiausaha kepada 214 syarikat sedangkan beliau telah diisytiharkan bankrap pada 22 Jun 2005. Antara syarikat-syarikat tersebut, sebanyak 87 buah syarikat ditubuhkan selepas beliau diisytiharkan sebagai bankrap. Perbuatan beliau ini adalah bercanggah dengan peruntukan Seksyen 139C(1)(a) AS 1965.

(3) Menyenarai hitamkan 39 setiausaha syarikat dari daftar termasuk 2 bekas ahli badan professional dari MIA dan Majlis Peguam Malaysia kerana terus menerus bertindak sebagai setiausaha syarikat tanpa lesen kesetiausahaan yang sah. Kesalahan ini telah dikesan oleh SSM melalui pemeriksaan data.

Tindakan pemantauan yang dijalankan ini adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 139C(3) AS 1965 yang melarang setiausaha syarikat untuk terus bertindak tanpa kelayakan. Seksyen ini juga melarang pengarah-pengarah syarikat daripada melantik setiausaha syarikat yang telah hilang kelayakan. Mana-mana pihak yang gagal untuk mematuhi peruntukan di atas, kompaun tidak melebihi RM5,000.00 atau tindakan pendakwaan akan dikenakan.

Seksyen 139C(2) Akta Syarikat 1965 menghendaki setiausaha syarikat sentiasa bersikap prihatin dan jujur dalam menjalakan tanggungjawab sebagai setiausaha syarikat dan memastikan peruntukan Akta Syarikat sentiasa dipatuhi. SSM yakin perlaksanaan penguatkuasaan seimbang yang diambil dapat memastikan urus tadbir korporat yang positif diamalkan oleh setiausaha-setiausaha syarikat selaras dengan peruntukan-peruntukan di bawah Akta Syarikat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...